SHAH ALAM - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Miri di Sarawak pada Rabu atas pertuduhan memuat naik komen jelik melampau dan menyinggung sensitiviti agama Islam berhubung pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, tahun lalu.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), mahkamah turut mengenakan denda sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh, John Mule anak Alai, 48.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang.
Dia selaku pentadbir akaun Facebook 'Bat Tuo Sai' telah memuat naik komen yang mencerca dan penghinaan terhadap ayat suci al-Quran serta Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian Perdana Menteri kelima itu.
"MCMC memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
"Sebarang kandungan yang bersifat menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang," katanya.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
