'MUDA Terkilan Tak Diundang, Tahu-Tahu Dah Ada Keputusan'

Politics
8 Feb 2023 • 8:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Setiausaha Agung MUDA mendakwa tidak menerima sebarang jemputan untuk menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, malam tadi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terkilan kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Menara Dato’ Onn di sini, malam tadi.

Setiausaha Agungnya, Amir Abd Hadi berkata, mereka tidak menerima sebarang jemputan, sama ada melalui surat, mesej atau emel berkaitan mesyuarat tersebut.

image is not available
Amir Abd Hadi

“Saya Setiausaha Agung parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya.

“Tidak ada surat, mesej, emel yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

image is not available

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut dihadiri semua pemimpin parti yang membentuk pentadbiran itu.

Bagaimanapun, kelibat pemimpin utama atau wakil dari MUDA tidak kelihatan.

Selepas mesyuarat itu, Anwar memaklumkan penubuhan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti dalam kerajaan iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Mengulas lanjut, Amir berharap agar MUDA diberikan taklimat mengenai hasil mesyuarat tersebut, memandangkan mereka juga menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Khabarnya semalam berlangsung mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan. Nampak ada logo MUDA. Tapi tak tahu apa-apa. Tak ada jemputan. Tak ada makluman.

“Tahu-tahu dah ada keputusan. Mungkin sekurang-kurangnya, boleh bagi taklimat hasil mesyuarat?” katanya. – Getaran, 8 Februari 2023