MUDA umum enam lagi calon bertanding PRN

Politics
17 Jul 2023 • 7:53 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini mengumumkan enam lagi calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini iaitu empat calon di Selangor, masing-masing seorang di Terengganu dan Pulau Pinang.

Bagi negeri Selangor, Pengerusi MUDA Selangor yang juga merupakan Ketua Parlimen MUDA Hulu Langat Al Hafiz Ikhwan diumumkan sebagai calon bagi DUN Dusun Tua, manakala Timbalan Pengerusi MUDA Selangor merangkap Ketua Parlimen MUDA Hulu Selangor Dr R. Siva Prakash sebagai calon DUN Kuala Kubu Bharu.

Bendahari MUDA Selangor Afriena Shaqira Sariff yang juga Ketua Parlimen MUDA Kuala Selangor, dipilih untuk bertanding di DUN Sungai Kandis, sementara Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA Dobby Chew Chuan Yang diumumkan sebagai calon bagi DUN Seri Setia.

Di Terengganu, Pengarah Pilihan Raya MUDA yang juga Ketua Penerangan Loqman Long diumumkan sebagai calon yang akan bertanding bagi kerusi DUN Bandar, manakala Priyankaa Loh Xiang Pin diumumkan sebagai calon bagi DUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pada PRN kali ini, MUDA akan bertanding tidak melebihi 10 peratus kerusi daripada jumlah keseluruhan kerusi yang ada iaitu 245 kawasan DUN.

“Sasaran kami untuk mengisi 50 peratus calon wanita dan pada masa yang sama memastikan kami tidak bertanding di lebih 10 peratus daripada jumlah kerusi.

“Akan ada lebih banyak pengumuman (calon) dari semasa ke semasa... kerana jumlah permohonan banyak, kami mahu memastikan proses pemilihan kami dilakukan dengan teliti dan dengan itu ia mengambil sedikit masa.

“Sasaran kami untuk mengisi 50 peratus calon wanita dan pada masa yang sama memastikan kami tidak bertanding di lebih 10 peratus daripada jumlah kerusi,” katanya pada sidang media khas pengumuman calon MUDA barisan kedua hari ini.

Ditanya sama ada MUDA akan membentuk kerjasama dengan parti lain, Syed Saddiq berkata pihaknya akan bekerjasama dengan mereka (parti) yang boleh membawa pembaharuan dari sudut dasar-dasar yang pro rakyat.

“MUDA dari awal sudah maklumkan bahawa niat kita untuk menjadi wakil rakyat yang berkhidmat, bekerja dan fokus untuk jadi suara semak dan imbang yang baik.

“Dalam soal kerjasama selepas PRN... keutamaan MUDA adalah untuk jadi suara semak dan imbang, namun jika ada apa-apa masalah, pendirian MUDA tidak akan berubah dan kita akan bekerjasama dengan mereka yang boleh membawa pembaharuan dari sudut dasar, mengangkat politik yang berbilang bangsa dan agama, serta sederhana,” katanya.

Jumaat lepas, MUDA telah mengumumkan empat calonnya yang akan bertanding di negeri Selangor pada PRN bulan depan iaitu di kawasan DUN Seri Serdang, Batu Tiga, Sentosa dan Bukit Antarabangsa. -Bernama