
Mudahkan Rakyat Cari Jodoh, Terengganu Bangunkan Aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’
Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sedang membangunkan sebuah aplikasi cari jodoh khas untuk rakyat negeri Terengganu.
Menurut YPKT, aplikasi bernama ‘Jodoh Darul Iman’ itu akan memudahkan rakyat negeri tersebut mencari jodoh secara percuma.
Difahamkan, aplikasi berkenaan yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat Top IT Industries Sdn Bhd kini sudah 97 hingga 98 peratus siap.
Terengganu bangunkan aplikasi Jodoh Darul Iman
Menurut portal rasmi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, terdapat beberapa syarat yang ditetapkan yang perlu dipenuhi oleh pengguna aplikasi berkenaan.
Antara syaratnya adalah pengguna mestilah merupakan rakyat negeri Terengganu, sama ada lelaki atau perempuan, dan berumur 21 tahun dan ke atas.
Selain itu, pengguna yang mahu mencari jodoh menerusi aplikasi berkenaan mestilah individu yang belum berkahwin atau ibu/bapa tunggal yang berhasrat mencari jodoh.
Untuk pengguna yang belum berkahwin, mereka hanya boleh mencari jodoh melalui aplikasi tersebut untuk perkahwinan kali pertama sahaja dan bukan untuk tujuan poligami.
Tiga tujuan aplikasi dibangunkan
Dalam pada itu, laman web YPKT turut menyenaraikan tiga tujuan aplikasi Jodoh Darul Iman dibangunkan.
Menurut YPKT, aplikasi berkenaan bertujuan memberi peluang kepada golongan yang belum berkahwin untuk mendapatkan jodoh dengan mudah.
Selain itu, ia juga untuk menolong golongan yang berkeinginan untuk berkahwin bagi mendapatkan pilihan calon yang memenuhi kriteria kedua belah.
Pada masa yang sama, aplikasi Jodoh Darul Iman juga dibangunkan untuk mencipta suasana yang selesa diantara generasi muda yang ingin memulakan penghidupan.
The post Mudahkan Rakyat Cari Jodoh, Terengganu Bangunkan Aplikasi ‘Jodoh Darul Iman’ appeared first on Siakap Keli.


