Mufti Besar Baitulmaqdis Ditahan, Dilarang Masuk Masjid Al-Aqsa

WorldPolitics
12 Jul 2026 • 5:25 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Mufti Besar Baitulmaqdis Ditahan, Dilarang Masuk Masjid Al-Aqsa

Mufti Besar Baitulmaqdis Ditahan, Dilarang Masuk Masjid Al-Aqsa

Pihak berkuasa Israel dilaporkan menahan Mufti Besar Baitulmaqdis, Sheikh Mohammed Hussein, sebelum melarang beliau memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa selama seminggu selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Gabenor Baitulmaqdis pada Jumaat, Sheikh Mohammed Hussein ditahan oleh pasukan Israel sejurus selepas menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Bagaimanapun, beliau kemudian dibebaskan selepas pihak berkuasa Israel mengeluarkan arahan yang melarangnya memasuki kawasan masjid berkenaan selama tujuh hari.

Setakat ini, polis Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan dan larangan tersebut.

Larangan bukan kali pertama

Pihak berkuasa Israel sebelum ini turut pernah mengenakan larangan sama terhadap beberapa khatib dan pendakwah yang berkhidmat di Masjid Al-Aqsa sejak beberapa tahun lalu.

Terdahulu pada hari yang sama, puluhan ribu rakyat Palestin dilaporkan menunaikan solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Ketegangan di Masjid Al-Aqsa terus meningkat

Tindakan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan di kawasan suci berkenaan terus memuncak.

Dalam laporan yang diterbitkan pada Ahad lalu, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin memaklumkan bahawa tentera Israel melakukan 26 pencerobohan ke kawasan Masjid Al-Aqsa sepanjang Jun.

Menurut kementerian itu, seramai 4,212 warga Israel memasuki kawasan masjid melalui Pintu Mughrabi pada waktu lawatan pagi dan petang dengan kawalan keselamatan pasukan Israel.

Pihak Palestin berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti dan tindakan Israel di kawasan Masjid Al-Aqsa, yang dianggap sebagai antara lokasi paling suci bagi umat Islam.

Penahanan Mufti Besar Baitulmaqdis cabul kebebasan beragama - Zulkifli

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel itu.

Menterinya Senator Dr Zulkifli Hasan dalam kenyataan berkata, meskipun Sheikh Muhammad Hussein kemudiannya dibebaskan, tindakan terhadap seorang pemimpin agama ketika melaksanakan amanahnya di masjid suci umat Islam adalah suatu pencabulan terhadap kebebasan beragama serta menjejaskan kesucian Masjid Al-Aqsa.

"Jabatan ini menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), supaya bertindak tegas bagi memastikan hak beribadah, keselamatan para pemimpin agama dan status Masjid Al-Aqsa terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa.

"Kami kekal teguh bersama rakyat Palestin serta akan terus menyokong segala usaha ke arah keamanan yang adil, mempertahankan hak asasi rakyat Palestin dan menamatkan segala bentuk penindasan terhadap mereka," katanya seperti dilapor BERNAMA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved