Mufti kesal ramai ikut trend menari terima duit raya, boleh jatuh hukum haram jika...

LocalOpinion
7 Apr 2025 • 2:15 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available



SEBELUM ini, Ustazah Asma' Harun ada berkongsikan teguran tentang trend menari terima duit raya di platform TikTok.



Memetik laporan Sinar Harian, perkara sama turut mendapat perhatian Mufti Terengganu,Datuk Dr Mohamad Sabri Harun.



Beliau meluahkan rasa kesal atas tindakan masyarakat beragama Islam yang mudah terikut-ikut dengan trend semasa sehingga melampaui batas terutama menonjolkan aurat.



Katanya lagi, budaya sebenar adalah bersalaman dan mengucapkan kemaafan serta terima kasih sempena menyambut Aidilfitri.



“Ia tidak perlu dicacatkan dengan perbuatan berjoget sehingga melampaui batas agama.



“Perkara seperti ini dikesali dan mungkin suatu masa akan kehilangan nilai-nilai murni budaya kita sendiri jika trend seperti ini berterusan.



“Trend berjoget untuk menerima duit raya itu perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah dan mempamerkan aurat wanita. Jika dilakukan secara berlebihan sehingga menonjolkan aurat sudah tentu boleh menjadi haram,” ujarnya.



image is not available



Mohamad Sabri turut menjelaskan bahawa perbuatan menari yang menyerupai amalan agama lain adalah haram.



“Bagaimanapun, jika tidak ada kena mengena dengan agama lain tetapi mengundang fitnah sehingga menjadi satu trend yang dianggap tidak manis dan tidak bermoral apatah lagi tidak pernah berlaku dalam tradisi budaya kita, maka sewajarnya perbuatan sedemikian dielakkan.



“Ini bagi memastikan perkara seperti ini tidak berterusan pada masa akan datang sehingga menjadi aib atau tidak manis dalam masyarakat bahkan mungkin (perbuatan itu) akan berlebihan sehingga menonjolkan bentuk tubuh,” jelasnya.



Sebelum ini, tular juga sebuah video berdurasi 22 saat yang mendakwa tarian tersebut mirip dengan tarian tradisional Yahudi, memandangkan pergerakannya dilihat seakan-akan menyerupai trend menerima duit raya yang kini sedang viral.