
GEORGE TOWN - Individu yang berperanan sebagai imam dinasihatkan berhenti merokok kerana ia merupakan tabiat tidak baik selain tergolong dalam kalangan orang fasik.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, walaupun terdapat pandangan ulama yang mengatakan sah solat di belakang seorang imam yang fasik atau merokok, ia tetap menonjolkan imej negatif bagi seseorang imam itu.
"Menurut pandangan mantan Mufti Arab Saudi, Almarhum Sheikh Abd Al Aziz Abdullah Baz adalah sah solat di belakang seorang imam yang fasik atau imam yang merokok.
"Bagaimanapun, adalah wajib ke atas kerajaan melantik imam daripada kalangan orang baik-baik dan istiqamah (baik ibadah dan akhlak)," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai sebuah klip video di aplikasi TikTok oleh seorang ustaz yang menjawab pertanyaan pengikutnya mengenai 'tidak solat dengan imam yang merokok'.
Mengikut pandangan ustaz tersebut, perokok tidak boleh menjadi imam dan jemaah tidak boleh mengikut orang yang merokok selain solat mereka dianggap tidak sah.
Kata ustaz itu lagi, perokok adalah orang fasik dan golongan tersebut tidak boleh menjadi imam.
Dalam pada itu, Wan Salim turut menasihatkan agar semua imam yang masih merokok dapat menghentikan perbuatan itu.
"Kita mahu menonjolkan imej seorang imam yang boleh dijadikan teladan yang baik untuk anak-anak jemaah," katanya lagi.

