Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sudah menjadi satu kebiasaan buat segelintir peniaga adakalanya mengadakan promosi seperti cabutan bertuah dengan tujuan untuk menghargai pelanggan.
Mufti jelaskan hukum sertai cabutan bertuah
Namun Mufti Terengganu, Profesor Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar menjelaskan cabutan bertuah itu boleh menjadi haram jika proses pelaksanaannya ada unsur seperti:
- Perjudian
- Penipuan
- Eksploitasi
Tak haram, namun kaedah pelaksanaan wajib patuh syariah
Katanya hukum untuk seseorang itu menyertai cabutan bertuah tidak diharamkan secara mutlak. Pun begitu ia tertakluk kepada kaedah pelaksanaan yang wajib mematuhi prinsip syariah.
Jelasnya, jika peserta yang menyertai cabutan bertuah itu diwajibkan untuk melakukan sesuatu seperti bayar yuran tambahan, beli kupon khas atau tanggung kos tertentu hanya untuk melayakkan diri bagi memenangi hadiah maka ia berpotensi mengandungi unsur perjudian (masyir) yang dilarang dalam Islam.
Cabutan bertuah kena bebas dari perjudian, penipuan, dan eksploitasi pengguna
“Sesuatu cabutan bertuah hendaklah bebas daripada unsur perjudian, ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil.
“Perkara sama (haram) turut berlaku sekiranya harga sesuatu produk dinaikkan secara tidak munasabah oleh pihak penganjur bagi membiayai hadiah yang ditawarkan kepada peserta,” jelas beliau, dipetik Sinar Harian.
Perkara itu dijelaskan Syed Hadzrullathfi menerusi satu surat rasmi, surat berkenaan dikeluarkan untuk menjawab pertanyaan awam mengenai trend semasa berhubung cabutan bertuah dan ia termasuk dengan yang dilakukan di platform digital.
Diharuskan syarak jika tak libatkan bayaran tambahan dan harga seperti pasaran sebenar
Cabutan bertuah itu hanya diharuskan syarak jika penyertaannya tidak membabitkan sebarang bayaran tambahan dan harga untuk produk mahupun perkhidmatan dilakukan kekal seperti harga pasaran sebenar.
Jelas beliau lagi, pembelian produk itu tidak boleh dilakukan tujuan utama semata-mata untuk nak menang hadiah, manakala sumber dana untuk penyediaan hadiah pula hendaklah datang dari sumber yang sah.
“Semua terma dan syarat penyertaan juga perlu dinyatakan secara jelas, telus dan adil bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam kalangan pengguna.
“Semua program cabutan bertuah khususnya melibatkan promosi digital dan pemasaran semasa perlu dinilai berdasarkan struktur pelaksanaannya, sumber pembiayaan hadiah serta syarat penyertaan.”
Justeru itu, Syed Hahzrullathfi berpandangan satu garis panduan khusus tentang pelaksanaan cabutan bertuah yang mematuhi syariah hendaklah diperluaskan kepada masyarakat serta penganjur.
Hal ini adalah untuk memastikan aktiviti promosi untuk cabutan bertuah tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Selain itu, untuk panduan lanjut mengenai pelaksanaan itu Jabatan Mufti Negeri Terengganu juga merujuk kepada Garis Panduan Berasaskan Hadiah yang diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-84 untuk pemahaman masyarakat.
Ingatkan orang ramai untuk teliti dahulu syarat penyertaan supaya tak terlibat amalan haram
Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran hadiah lumayan yang ditawarkan sebaliknya perlu teliti syarat penyertaannya terlebih dahulu.
Perkara itu adalah untuk mengelak daripada terbabit dengan amalan haram.


