Mufti: Termakan ayam tidak halal tanpa sengaja tidak berdosa

1 Nov 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Mufti: Termakan ayam tidak halal tanpa sengaja tidak berdosa

SHAH ALAM, 1 NOV: Umat Islam tidak berdosa sekiranya termakan ayam yang tidak halal tanpa mengetahui status sebenar makanan berkenaan, meskipun telah memakannya berulang kali dalam tempoh panjang.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata mereka juga tidak diwajibkan membayar kafarah, menggantikan makanan yang sudah dimakan atau melakukan amalan tertentu bagi menyucikan diri.

Menurutnya, perkara itu juga tidak menyebabkan seluruh tubuh badan menjadi haram atau membatalkan ibadah yang dilakukan sebelum ini.

"Namun, selepas mengetahui dan mendapat pengesahan sesuatu bekalan ayam tidak halal, umat Islam wajib berhenti daripada memakannya.

"Pada masa sama, masyarakat tidak seharusnya terus membuat kesimpulan semua ayam yang pernah diproses oleh premis itu sepanjang tempoh operasinya adalah bangkai.

"Perkara itu perlu dibuktikan menerusi siasatan pihak berkuasa dan masyarakat juga diingatkan supaya tidak terlalu was-was terhadap makanan yang sudah dimakan pada masa lalu," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Penjelasan itu menyusul rampasan kira-kira 6.5 tan ayam mentah dalam serbuan di sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam di Puchong kerana disyaki tidak mematuhi hukum syarak serta keperluan pensijilan halal.

Pemeriksaan mendapati premis berkenaan menggunakan kaedah renjatan rendaman air berarus elektrik (water bath stunning) sebelum ayam disembelih.

Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata Islam tidak membebankan seseorang untuk menyiasat semula setiap makanan yang pernah dimakan, terutama jika diperoleh daripada sumber yang pada zahirnya dipercayai halal.

Beliau turut merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

"Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud 'Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami terlupa atau kami tersalah'.

Bagaimanapun, beliau menegaskan haiwan yang halal dimakan seperti ayam mesti disembelih ketika masih hidup dan memenuhi syarat penyembelihan ditetapkan syarak.

"Sekiranya ayam itu mati akibat rendaman air panas atau renjatan elektrik sebelum disembelih, maka ia dikategori sebagai bangkai dan haram dimakan, manakala proses pemotongan leher selepas kematiannya tidak menjadikan daging terbabit halal.

"Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma'idah ayat tiga bermaksud 'Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, darah dan daging babi," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sukki menasihatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati memilih sumber makanan, khususnya ayam dan daging, bagi mengelakkan keraguan terhadap status halal.

"Kejadian itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua supaya lebih berhati-hati dalam memilih sumber makanan, khususnya ayam dan daging.

"Utamakan pembelian daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal sah dan sumber bekalan yang jelas. Jangan hanya bergantung kepada pengakuan penjual atau menganggap sesuatu makanan pasti halal semata-mata kerana pemilik premis beragama Islam," katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik restoran dan peniaga makanan supaya memastikan bekalan ayam yang digunakan benar-benar disembelih mengikut hukum syarak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved