'Muhammad Ammar dirempuh, diseret jauh dan melambung atas kereta'

25 Mar 2026 • 3:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Ammar Zamri, 7, maut dilanggar kereta dalam kejadian di Kampung Kubang Jambu, Kota Kuala Muda kira-kira jam 9.23 malam pada Selasa.
image is not available
Jenazah Allahyarham dimasukkan ke van jenazah untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Raja, Kota Kuala Muda.

SUNGAI PETANI – “Dia tidak melintas jalan, tiba-tiba sebuah kenderaan dipandu laju lalu melanggar Muhammad Ammar yang berada di tepi jalan. Arwah terseret jauh dan melambung ke atas kereta.”

Demikian kejadian yang disaksikan dalam insiden yang meragut nyawa Muhammad Ammar Zamri, 7, di Kampung Kubang Jambu, Kota Kuala Muda kira-kira jam 9.23 malam pada Selasa.

Menurut ibu saudara mangsa, Rohayu Mt Yusoff, 51, ketika kejadian, Muhammad Ammar berada di tepi jalan berhampiran kedai nasi kerabu miliknya.

Katanya, mangsa ketika itu bersama kakaknya yang berusia 11 tahun dan ibu mereka, manakala dia sedang berkemas di kedai berkenaan.

“Sebelum kejadian, dia datang ke kedai untuk meminta air minum sambil bergurau dengan kakaknya.

“Kejadian berlaku di depan mata. Ibu mangsa juga berada di lokasi. Kami menjerit memanggilnya dan kakaknya hanya sempat menarik bajunya sebelum ibu mangsa pengsan akibat terkejut,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda, namun disahkan meninggal dunia.

**media[3471826]**

Dalam pada itu, kakak sulung mangsa, Anis Amira Zamri, 25, berkata, kata-kata arwah sebelum kejadian masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Arwah tanya, kalau adik tak ada, adik nak mati di mana… dalam bilik atau di mana?

“Selepas kemalangan, saya teringat semula. Dia pernah tanya soalan seperti itu kepada saya sebelum ini,” katanya sebak.

Jenazah Allahyarham dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat pada Rabu.

Jenazah Muhammad Ammar kemudiannya dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Raja, Kota Kuala Muda selepas solat Zuhur.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Kota Kuala Muda pada Selasa.