
Muhammad Aqil Sertai Akademi JDT
JOHOR BAHRU, 18 Mei (Bernama) — Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengumumkan menandatangani pemain muda berbakat dari Terengganu, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi untuk menyertai Akademi JDT.
Pengumuman itu dibuat kelab berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, di sini.
“Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan,” menurut kelab itu.
Turut dimuat naik beberapa keping gambar pemain bola sepak cilik itu bersama ahli keluarga serta Ketua Pegawai Eksekutif Kelab JDT Alistair Edwards.
Sebelum ini, video aksi pemain berusia 13 tahun itu pernah tular di media sosial yang menunjukkan bakatnya bermain dengan pemain lebih dewasa.
Baru-baru ini Edwards dipetik sebagai berkata terdapat sambutan yang amat menggalakkan ketika sesi percubaan Akademi JDT di Pusat Latihan Junior JDT di Padang Mawar pada 12 Mei lepas.
Beliau menambah Akademi JDT telah menjalankan beberapa sesi percubaan dalam setahun untuk bakat-bakat yang telah dikenal pasti oleh barisan peninjau bakat di seluruh Malaysia dan akan mengadakan lebih banyak sesi percubaan selepas ini serta menghantar pencari bakat bukan sahaja di Johor tetapi seluruh negara.
Antara pemain dari pelatih Akademi JDT yang telah berjaya ke skuad senior termasuk Arif Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah, Feroz Baharudin dan K Daryl Syam.
Sumber: BERNAMA
The post Muhammad Aqil Sertai Akademi JDT appeared first on Siakap Keli.

