Muhyiddin Cadang Wujud Agensi Sehenti, Kumpul Data Penerima Bantuan

Politics
27 Aug 2022 • 1:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mujyiddin (tiga dari kiri) bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pemimpin PN lain pada Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di MAEPS, hari ini. - Gambar oleh Syeda Imran

SERDANG - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan sebuah agensi sehenti diwujudkan untuk mengumpul data mengenai individu dan isi rumah yang benar-benar memerlukan bantuan.

Beliau berkata agensi itu yang juga bertujuan menyelaras segala bentuk bantuan, boleh mengambil model Centrelink yang dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak. 

Beliau berkata sistem semakan kelayakan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam adalah supaya tiada pertindihan penerima bantuan, sekali gus memastikan tidak berlaku keciciran.

"Dengan cara ini sumber kewangan kerajaan dapat dioptimumkan di samping memastikan tiada sesiapa yang tertinggal," katanya dalam ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

image is not available
Muhyiddin Yassin - Gambar oleh Syeda Imran

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata kerajaan membelanjakan lebih RM70 bilion setahun dalam bentuk subsidi dengan jumlah itu meningkat saban tahun, selain tidak mapan untuk jangka panjang.

Justeru, beliau berkata penyaluran subsidi lebih bersasar perlu diwujud untuk memastikan subsidi kerajaan dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan, tiada ketirisan dan tiada seorang pun ketinggalan.

Menerusi penyaluran subsidi lebih bersasar, sistem bantuan rakyat yang seragam dan pengurusan kewangan kerajaan lebih optimum, Muhyiddin berkata beberapa bentuk bantuan baharu juga boleh diwujudkan seperti bantuan sewa rumah kepada kumpulan miskin bandar bagi memastikan setiap individu dan keluarga mempunyai tempat berteduh, selain mengatasi masalah gelandangan. 

Pelbagai bentuk bantuan yang penting dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran khususnya untuk golongan muda yang sedang mencari pekerjaan juga mesti diberikan keutamaan, katanya. 

Dalam pada itu, Muhyiddin menyarankan agar negara segera beralih kepada industri berteknologi tinggi dengan nilai tambah lebih tinggi serta tawaran gaji lebih lumayan. 

“Walaupun usaha ini telah dimulakan, hasilnya masih belum dapat dilihat secara ketara, justeru suatu daya usaha lebih berfokus, pantas dan tangkas mesti digembleng melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan industri untuk memastikan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 di negara ini berlaku dengan lebih deras,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga perlu meningkatkan daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam meningkatkan nilai tambah termasuk melalui penguasaan automasi dan pendigitalan, sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat. - Bernama