Muhyiddin Dakwa Hak Bersatu Dalam PN Dinafikan

LocalPolitics
17 Jul 2026 • 4:09 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Muhyiddin Dakwa Hak Bersatu Dalam PN Dinafikan

Muhyiddin Dakwa Hak Bersatu Dalam PN Dinafikan

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu tidak pernah memilih untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mendakwa hak Bersatu sebagai anggota gabungan berkenaan telah dinafikan.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Muhyiddin berkata Bersatu yang merupakan antara pengasas PN masih kekal sebagai parti komponen yang sah, namun tidak lagi dilibatkan dalam beberapa urusan penting gabungan itu.

Menurut beliau, Bersatu bukan sahaja tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN, malah rundingan pembahagian kerusi pilihan raya yang melibatkan parti itu turut dihentikan tanpa alasan yang munasabah.

“Bersatu juga tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi parti-parti anggota gabungan.

“Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput?” katanya.

Rabu lalu, Muhyiddin mengumumkan Bersatu akan bertanding menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN didakwa ditangguhkan bagi tempoh yang tidak ditetapkan hanya beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Baca juga:

Sementara itu, Muhyiddin turut mempersoalkan pendekatan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang didakwa memberi kebenaran kepada PAS mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) tanpa melibatkan semua parti komponen serta tanpa mandat daripada Majlis Tertinggi PN.

Katanya, beliau tidak mempertikaikan rundingan tersebut, sebaliknya mempersoalkan proses membuat keputusan yang menurutnya tidak mengikut saluran sewajarnya.

“Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi.

“Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang,” ujarnya.

Muhyiddin turut menyifatkan usaha PN yang kini diterajui PAS untuk bekerjasama dengan UMNO, yang masih mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP, bukanlah satu bentuk penyatuan Melayu yang sebenar.

“PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh PN. Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Bersatu akan terus meneruskan perjuangannya meskipun tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan semasa PN.

“Apapun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada PN. Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan bermakna parti itu secara sukarela memilih untuk berpisah daripada gabungan tersebut.

Beliau turut mendakwa permintaan Bersatu untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sukar dipenuhi oleh PN.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved