Muhyiddin Gagal Gugurkan Kes Rasuah Dan AMLA, AGC Tolak Representasi

LocalPolitics
7 Oct 2025 • 3:30 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
muhyiddin

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, gagal dalam usahanya untuk menggugurkan tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan beliau.

Muhyiddin hadap tujuh pertuduhan

Menurut laporan Free Malaysia Today, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa keputusan AGC itu telah disampaikan kepada Ahli Parlimen Pagoh tersebut pada 22 Ogos lalu.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga lagi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Kami juga memohon supaya semua kes ini dibicarakan bersama,” katanya.

Wan Shaharuddin turut memaklumkan bahawa pihaknya bersedia memulakan perbicaraan seawal Januari tahun depan.

Namun, peguam bela Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, mencadangkan tarikh perbicaraan ditetapkan sekitar Met atau Jun.

Hakim K. Muniandy kemudian menetapkan 10 November depan bagi pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan, selain membenarkan permohonan supaya Muhyiddin dikecualikan hadir pada sebutan akan datang.

Untuk rekod, pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi pernah membatalkan empat pertuduhan terhadap Muhyiddin kerana dianggap kabur dan tidak berasas.

Namun, pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan supaya kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk diteruskan.

image is not available

Foto: Bernama

Pada 4 April tahun ini, Muhyiddin memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan ia melibatkan isu undang-undang yang kompleks dan berkepentingan awam.

Empat pertuduhan tersebut melibatkan dakwaan menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu serta tiga syarikat.

Tiga lagi pertuduhan berkait dengan penerimaan dana hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun parti Bersatu.

View Original Article