DALAM politik, kekuatan lahir daripada keupayaan membaca realiti. Atas sebab itu, kenyataan terbaharu Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar wajar dinilai semula secara matang, tenang dan berpijak pada hakikat semasa.
Ini bukan lagi zaman mana-mana tokoh boleh menganggap dirinya kekal sebagai paksi tunggal pembangkang. Politik sentiasa berubah dan sesiapa yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan akhirnya akan ditinggalkan oleh sejarah.
Pertama, Muhyiddin perlu bertindak matang dengan tidak cuba menghalang Hamzah daripada terus bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). Kenyataan beliau bahawa beliau sendiri akan menghalang kemasukan Hamzah atau parti baharunya ke dalam PN menggambarkan pendekatan yang terlalu bersifat peribadi, sedangkan gabungan politik tidak boleh diurus berasaskan luka lama atau rasa tidak percaya semata-mata.
Politik memerlukan keluasan dada. Jika hujah terhadap Hamzah ialah beliau pernah berhubung atau berbincang dengan pihak luar, maka ukuran yang sama mestilah dikenakan secara konsisten kepada semua pemimpin. Politik Malaysia sudah lama menyaksikan pelbagai pertemuan rentas parti, rentas blok dan rentas strategi.
Tidak setiap pertemuan membawa makna pengkhianatan; kadangkala ia sebahagian daripada percaturan. Maka, cubaan membina naratif bahawa Hamzah wajib ditolak selama-lamanya hanya akan menampakkan Muhyiddin lebih didorong oleh emosi berbanding pertimbangan strategik.
Tambahan pula, terdapat kenyataan bahawa ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bersatu menyokong Hamzah. Ini membuktikan pengaruh Hamzah bukan kecil dan tidak boleh dipadamkan hanya dengan kenyataan media.
Kedua, Muhyiddin juga perlu bertindak matang dengan tidak cuba memperkecilkan kemampuan Samsuri sebagai calon Perdana Menteri. Pada tahun 2023, Muhyiddin sendiri tidak menafikan bahawa Samsuri ialah calon Perdana Menteri pada masa depan, malah menyifatkan beliau sebagai tokoh yang bijaksana, berkemampuan, teruji dan sederhana. Pada masa yang sama, Tun Dr Mahathir Mohamad juga secara terbuka menyatakan bahawa Samsuri sudah memang layak menjadi Perdana Menteri.
Maka, apabila mutakhir ini Muhyiddin menegaskan bahawa pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan jaminan beliau menjadi calon Perdana Menteri, kenyataan itu sememangnya mengundang persepsi bahawa beliau sedang cuba memperlahankan momentum seorang tokoh muda yang semakin mendapat tempat dalam imaginasi politik rakyat.
Dalam keadaan ramai rakyat semakin letih melihat wajah-wajah lama terus berputar dalam gelanggang kuasa, kemunculan Samsuri sebagai figura baharu yang lebih segar, tenang dan kurang sarat dengan beban masa lalu sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri. Ini bukan sekadar soal Pas atau Bersatu, tetapi soal psikologi pengundi yang mahukan penyegaran kepimpinan nasional.
Ketiga, Muhyiddin sepatutnya bertindak bijaksana dengan memberi tumpuan kepada pembinaan semula Bersatu yang jelas sedang berdepan masalah dalaman yang serius. Dakwaan bahawa Bersatu 'masih kukuh' sukar dipertahankan apabila perkembangan semasa menunjukkan keretakan yang ketara dengan pengumuman pembubaran sekian banyak bahagian dan cawangannya.
Dalam suasana seperti ini, keutamaan seorang presiden parti sepatutnya bukan memanjangkan permusuhan peribadi, tetapi memulihkan keyakinan ahli, menyusun strategi, menenangkan akar umbi dan mengelakkan Bersatu terus tenggelam dalam krisis legitimasi.
Realitinya, kedudukan Bersatu dalam PN hari ini tidak lagi sekuat dahulu. Pas mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar dari segi jentera, disiplin organisasi, kekuatan akar umbi dan pengaruh di banyak kawasan majoriti Melayu.
Tidak hairanlah apabila Pas kini juga diberi peranan lebih besar dalam menentukan Ketua Pembangkang baharu dengan mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 14 Mac dijadualkan membincangkan perkara itu. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa pusat graviti dalam PN sedang beralih dan Bersatu perlu menerima realiti itu dengan jiwa besar.
Justeru, cadangan supaya Pas menampilkan calon Perdana Menteri paling kuat bagi menghadapi PRU16 bukanlah sesuatu yang tidak munasabah. Pas pernah menerima Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri sebelum dan selepas PRU15.
Maka, tidak salah untuk kali ini Bersatu pula menunjukkan kebesaran jiwa dengan menerima bahawa calon Perdana Menteri seterusnya wajar datang daripada Pas, khususnya jika tokoh seperti Samsuri semakin diterima sebagai wajah baharu pembangkang. Politik pakatan hanya akan bertahan jika ada timbal balik, bukan jika satu pihak sentiasa mahu memimpin walaupun hakikat kekuatan semasa tidak lagi memihak kepadanya.
Keempat, Muhyiddin juga wajar bertindak lebih bijaksana dengan memfokuskan perhatian kepada perbicaraan kes beliau sendiri. Semalam, perbicaraan kes Jana Wibawa yang melibatkan pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram terhadap beliau sudah bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam keadaan sedemikian, adalah lebih baik bagi beliau menumpukan tenaga, imej dan kejelasan politik kepada proses mempertahankan dirinya di mahkamah, bukannya menambah ketegangan baharu dalam pembangkang. Ini penting bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk mengelakkan Bersatu dan PN terus dibebani oleh pertikaian dalaman ketika presidennya sendiri sedang berdepan perbicaraan berprofil tinggi.
Isu Hamzah pula memperlihatkan bahawa beliau tidak berniat untuk kembali ke UMNO tetapi terbuka kepada kerjasama lebih luas demi agenda 'reset', di samping masih menunggu keputusan rayuan ROS berhubung Parti Keluarga Malaysia.
Ini bererti ruang kerjasama politik itu masih terbuka, dan seorang pemimpin yang berjiwa besar sepatutnya melihat peluang strategik, bukannya sekadar ancaman peribadi. Menghalang kerjasama hanya kerana sejarah kecewa lampau bukan strategi politik yang matang, tetapi hanyalah formula memecahkan lagi kekuatan pembangkang.
Kesimpulannya, Muhyiddin perlu menerima satu hakikat yang semakin jelas, iaitu rakyat semakin letih dengan putaran nama-nama lama dan semakin terbuka kepada kemunculan kepimpinan baharu. Dalam keadaan Bersatu sedang lemah, berdepan perpecahan dalaman, kehilangan tokoh penting dan semakin bergantung kepada kekuatan PAS, pendekatan paling waras ialah berundur selangkah demi menyelamatkan keseluruhan gabungan.
Jika benar keutamaan beliau ialah masa depan pembangkang dan bukan semata-mata kelangsungan pengaruh peribadi, maka langkah paling matang ialah membiarkan Pas memimpin, memberi ruang kepada calon Perdana Menteri daripada Pas yang paling kuat dan membenarkan PN dijenamakan semula dengan wajah yang lebih segar.
Beliau perlu segera berhenti daripada menghalang Hamzah, berhenti memperkecilkan Samsuri, berhenti berpolitik secara defensif dan mula membaca realiti dengan lebih jujur. Dalam politik, keberanian sebenar ialah mengetahui bilakah masa paling tepat untuk menyerahkan stereng kepada orang lain yang lebih mampu membawa kenderaan itu sampai ke destinasi.
*Muhammad Afifi Abdul Razak ialah penganalisis sosio-politik tempatan
