
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihaknya telah menerima writ dan tuntutan saman fitnah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dakwaan yang dibuat olehnya.
“Saya telah menerima writ dan pernyataan tuntutan saman fitnah daripada peguam YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Oleh kerana Dato’ Seri Anwar telah memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, maka saya telah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengendalikan kes ini mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang dibuat di laman Facebook pada Rabu.
Terdahulu, Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan beliau menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 5 Disember lepas, Muhyiddin telah membuat kenyataan itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.
Sumber: Muhyiddin Yassin/Facebook
The post Muhyiddin Sahkan Terima Writ Anwar, Serah Kepada Peguam appeared first on Siakap Keli.
