Muhyiddin Tidak Perlu Defensif - Nik Nazmi

Politics
12 Mar 2023 • 6:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Muhyiddin (tengah) pada perhimpunan agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di sini, hari ini. - Gambar oleh Azim Rahman

BATU KAWAN - Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya bersikap defensif terhadap pertuduhan berkaitan rasuah yang dihadapi dan perlu melalui proses di mahkamah untuk membersihkan namanya, kata Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Saya ingat lagi masa mana kes siasatan terhadap UMNO dibuat dulu, Tan Sri Muhyiddin kata itu adalah proses oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan perlu dihormati.. sekarang ini ia adalah proses yang sama seperti beliau katakan sebelum ini, malah ia proses bebas. 

"Biar proses ini berjalan dan kedua-dua pihak mempunyai kes di mahkamah, jadi kita biarkan proses itu dilalui dan tidak sepatutnya ada rasa defensif dan mereka harus melalui proses mahkamah...," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

image is not available
Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata demikian selepas  Karnival Alam Kita di pekarangan Stadium Batu Kawan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa pemimpin PN mendakwa tuduhan terhadap Muhyiddin bersifat pertuduhan terpilih serta bermotifkan politik.

Jumaat lepas, Muhyiddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin, 76, yang mengaku tidak bersalah, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima rasuah dan dua pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram. - Bernama