
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian dirinya memiliki bilangan sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus membolehkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Isnin.
Jelasnya, sokongan itu bukan sahaja membabitkan ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bebas tetapi juga ahli Dewan Rakyat lain secara individu.
"InsyaALLAH esok (kita) akan dapat kemukakan akuan bersumpah bahawa kita ada sejumlah ahli Parlimen (menyokong untuk membentuk kerajaan)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik selesai mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.
Sementara itu, ditanya mengenai Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa parti itu tidak pernah berunding dengan GPS untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN dan kemungkinan merisikokan ahli Parlimen daripada BN yang menyokongnya.
Ia susulan undang-undang berkaitan larangan ahli Parlimen telah dilaksanakan, Muhyiddin menjelaskan, wakil rakyat yang memberikan sokongan kepadanya secara individu tidak melanggar akta tersebut.
Ini kerana katanya, undang-undang itu hanya terpakai kepada ahli Parlimen yang bertukar atau lompat parti, bukan menyatakan sokongan.
"Memang tidak melanggar peruntukan akta itu (kerana) mereka tak keluar daripada parti tetapi mereka secara individu (iaitu) ahli Parlimen datang secara bebas memberikan sokongan kepada saya.
"Jadi, ia tidak melanggar akta lompat parti lah," katanya.
Pada Ahad, Ahmad Zahid menafikan partinya pernah berunding dengan GPS untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama PN.
Presiden UMNO itu turut menegaskan, tiada sebarang rundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud adanya persefahaman penubuhan kerajaan bersama gabungan tersebut.
Sehubungan itu katanya, mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
