MUIS Perkenal Pembayaran Zakat Fitrah Melalui QR Pay Bank Islam

26 Feb 2025 • 9:19 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Tak perlu tunai, bayar zakat fitrah dengan QR Pay Bank Islam

MUIS Perkenal Pembayaran Zakat Fitrah Melalui QR Pay Bank Islam. Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kini memperkenalkan sistem pembayaran Zakat Fitrah menerusi QR Pay melalui Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB BIZ), seiring dengan usaha pendigitalan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Presiden MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, berkata kadar bayaran Zakat Fitrah tahun ini kekal pada RM7.50 seorang dan rakyat digalakkan menggunakan sistem ini kerana ia lebih mudah serta mengurangkan risiko kehilangan wang tunai.

image is not available
MUIS Perkenal Pembayaran Zakat Fitrah Melalui QR Pay Bank Islam. Sumber foto: Borneo Post

“Dengan pengenalan sistem QR Pay ini, MUIS berharap dapat meningkatkan kemudahan, kecekapan dan ketelusan dalam pembayaran zakat, memastikan semua sumbangan diurus dengan bertanggungjawab serta disalurkan secara efektif kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1446H/2025M pada Selasa.

Kutipan Zakat 2024 Cecah RM135 Juta

Dalam pada itu, Yahya turut berkongsi jumlah kutipan dan agihan zakat harta serta zakat fitrah bagi tahun 2024 (1445 Hijrah). Menurutnya, kutipan zakat harta tahun lalu berjumlah RM122,358,037.15, manakala kutipan zakat fitrah pula sebanyak RM12,095,323.50. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kutipan zakat harta dan zakat fitrah sebanyak RM135,453,360.65.

Menariknya, jumlah pembayar zakat fitrah tahun ini turut meningkat kepada 1,612,556 orang, menunjukkan pertambahan sebanyak 5,369 orang atau 0.33% berbanding 1,607,187 individu pada 2023 (1444 Hijrah).

Dari segi agihan, Yahya berkata Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS berjaya mengagihkan RM147,206,600.38 kepada 114,044 penerima asnaf sepanjang tahun lalu.

“Sebarang lebihan dana yang tidak diagihkan pada penghujung tahun 2024 telah mula disalurkan pada awal tahun ini bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan dengan segera,” tambahnya.

RM19.6 Juta Untuk Asnaf Sempena Ramadan

Bagi Ramadan tahun ini, MUIS telah memperuntukkan sebanyak RM19.6 juta kepada golongan asnaf. Daripada jumlah itu, RM18 juta diagihkan kepada 55,000 asnaf dari kategori fakir, miskin, dan mualaf bagi meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, RM1.6 juta pula diperuntukkan sebagai elaun kepada 2,050 amil zakat fitrah sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam mengutip dan mengagihkan zakat fitrah sepanjang Ramadan.

Untuk tahun 2025 (1446 Hijrah), MUIS menetapkan sasaran kutipan zakat sebanyak RM155 juta, dengan RM12.6 juta dijangka diperoleh daripada zakat fitrah dan RM142.4 juta daripada zakat harta.

Jadi, buat rakyat Sabah, kini tiada alasan lagi untuk tidak menunaikan zakat fitrah kerana semuanya boleh dilakukan dengan mudah menerusi QR Pay. Selain memudahkan urusan, ia juga memastikan zakat yang anda bayar sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai Tabung Baitulmal Sarawak perkenal pembayaran zakat fitrah guna QR code di Kuching: