Muis perkenal tiga kadar zakat fitrah Ramadan tahun depan

LocalPolitics
25 Apr 2025 • 9:46 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) bakal memperkenalkan tiga kadar zakat fitrah bermula Ramadan tahun depan, bagi memberi pilihan bayaran zakat kepada umat Islam berdasarkan jenis beras dimakan seharian.

Timbalan Yang Di Pertua Muis, Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata, langkah itu diambil setelah mengambil kira kehendak umat Islam yang mahukan sistem zakat fitrah lebih fleksibel dan adil mengikut kemampuan masing-masing.

“Insya-Allah pada bulan Ramadan tahun depan, kita akan membuat pembaharuan tentang kadar harga kutipan zakat sebagaimana yang telah diumumkan oleh Exco Agama kita Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

“Kita akan perkenalkan tiga kadar zakat fitrah, iaitu mengikut harga beras biasa, sederhana, dan mahal. Ini untuk memudahkan umat Islam membayar zakat mengikut jenis beras yang mereka makan.

“Langkah ini juga kehendak umat Islam sebab tidak semua makan beras biasa, ada yang makan beras berharga (mahal) dan sebagainya, jadi ikut kadar beras mana yang selalu dimakan, itulah kadar yang mereka akan bayar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka buka Aidilfitri Muis di Bangunan Muis, di sini, Rabu.

Sebelum ini, kadar zakat fitrah di Sabah kebiasaannya dikenakan dengan satu kadar yang ditentukan berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras dimakan majoriti penduduk, dan tahun lalu, kadar ditetapkan adalah RM7.50.

Sementara itu, Malai Ali berkata, sepanjang bulan Ramadan lalu, seramai 2,200 wakil amil telah berjaya melaksanakan tugas pengagihan zakat kepada golongan fakir miskin dan asnaf, melibatkan jumlah keseluruhan sekitar RM19 juta.

Katanya, Muis turut menyasarkan peningkatan jumlah kutipan zakat pada tahun ini susulan peningkatan kesedaran dan pembayaran zakat oleh syarikat-syarikat selepas tempoh pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai kutipan zakat fitrah tahun ini, Malai Ali berkata, proses pengauditan masih berlangsung, namun jumlahnya dijangka tidak jauh berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Muis juga mengambil pendekatan dengan terus menyalurkan wang zakat kepada penerima yang sah, termasuk melalui transaksi bank bagi memastikan kecekapan dan ketelusan dalam agihan bantuan.

“Inisiatif ini bagi menjaga adab dan mengambil kira sensitiviti atau menjaga aib golongan penerima,” tegasnya.