Muis salur RM1.04 juta kepada Perkips

28 Aug 2025 • 4:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah menyalurkan RM1.04 juta bagi pembayaran elaun petugas di bawah Program Hospital Mesra Ibadah (HMI) di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua Muis Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata pembayaran itu disalurkan menerusi Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (Perkips) yang akan bertanggungjawab mengurus pembayaran elaun tersebut.

“Muis beberapa tahun sebelum ini menyalurkan lebih sejuta ringgit menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah untuk pembayaran elaun kepada 58 petugas HMI di semua hospital seluruh negeri.

“Peruntukan Muis ini juga adalah zakat yang digunakan untuk sebarang keperluan agama Islam melibatkan banyak aspek berkaitan termasuk pelaksanaan HMI oleh Perkips.

“Muis menerusi kolaborasi dengan Perkips turut menyalurkan peruntukan di bawah zakat bagi pembelian ubat-ubatan untuk pesakit-pesakit kanser di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penutupan Kursus Petugas Mesra Ibadah, Penyelia Petugas Mesra Ibadah dan Pegawai Hal Ehwal Islam HMI anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Perkips pada Rabu.

Sementara itu Yang Dipertua Perkips Dr. Shamsul Ag Tuah yang ditemui berkata seramai 100 peserta menyertai kursus yang berlangsung selama tiga hari bermula Rabu untuk pemerkasaan kaedah HMI sedia ada.

Menurutnya program HMI kini telah dilaksanakan di semua 24 buah hospital kerajaan seluruh Sabah kerana ia kini dilihat banyak memberi manfaat khususnya kepada pesakit muslim.

“Minimum dua orang petugas HMI iaitu lelaki dan wanita ditempatkan di setiap hospital manakala jika melibatkan hospital besar seperti Hospital Queen Elizabeth (HQE) seramai enam petugas akan ditempatkan di mana masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita.

“Kursus kali ini juga lebih kepada pemerkasaan program sedia ada yang mengutamakan pengurusan ibadah pesakit dan waris terutamanya dalam aspek komunikasi antara petugas HMI dan pesakit,” katanya.