Muka mengelupas, bayi 4 bulan antara mangsa serangan semut charlie di PPR Hiliran

LocalFamily & Parenting
6 Jun 2026 • 7:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Muka mengelupas, bayi 4 bulan antara mangsa serangan semut charlie di PPR Hiliran
Antara kesan gigitan semut charlie yang dikesan menyerang perumahan itu sejak dua minggu lalu.Gambar kecil: semut charlie.
Image from: Muka mengelupas, bayi 4 bulan antara mangsa serangan semut charlie di PPR Hiliran
Penduduk menunjukkan bekas gigitan semut charlie yang meninggalkan kesan gatal dan bengkak.

KUALA TERENGGANU – Lebih 100 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini tidak tenteram selepas kehadiran semut charlie yang 'menyerang' kawasan kediaman mereka sejak dua minggu lalu.

​Dakwa penduduk, populasi serangga berkenaan dilihat semakin meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini, terutama menjelang waktu malam.

​Bagi penduduk, Azlan Ismail, 58, dia dan anak lelakinya yang berusia enam tahun menjadi antara mangsa terbaharu yang terkena bisa serangga tersebut ketika berada di dalam rumah.

​Katanya, kesan daripada rembesan toksin semut charlie itu menyebabkan kulit mereka menjadi gatal, pedih dan bengkak, selain mengambil masa sehingga seminggu untuk pulih.

**media[3542240]**

​"Mula-mula kena tak sakit. Lepas dua hari, naik kesan merah berlendir. Masuk hari ketiga, jadi gelembung air dan meletup, masa tu rasa berdenyut sikit. Dua tiga hari juga sampai ia kering.

​"Kita bimbang anak-anak kecil gosok mata. Macam anak saya, muka habis mengelupas," katanya ketika ditemui di sini.

​Kebimbangan sama turut dikongsi seorang lagi penduduk, Suhaila Saludin, 46, yang mengakui tidak dapat tidur lena setiap malam kerana memikirkan keselamatan anak-anaknya.

​"Memang bimbang sangat-sangat sampai tak boleh nak tidur. Kalau tidur pun, 'tidur-tidur ayam' sahaja sebab terpaksa berjaga. Lebih-lebih lagi memikirkan anak-anak.

​"Sebagai ibu, saya takut semut itu masuk dalam telinga atau mata. Bila terkena 'ketik' (gigit), kesannya sangat teruk hingga meninggalkan parut. Tak boleh nak kata apa, pedih dan gatal semua ada," luahnya.

​Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) PPR Hiliran, Zabri Awang mengesahkan kes berkenaan turut melibatkan mangsa seawal usia bayi empat bulan, selain kanak-kanak dan golongan dewasa.

​Malah katanya, ada dalam kalangan mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di hospital dan klinik berhampiran akibat kesan gigitan yang teruk.

​Sebagai langkah awal, Zabri menasihati penduduk setempat agar mengambil tindakan pencegahan segera bagi mengelakkan menjadi mangsa serangga itu.

Katanya, antara inisiatif awal yang boleh diambil ialah ​menyediakan semburan aerosol racun serangga di rumah sebagai penghalang, elak memasang lampu kalimantan sepanjang masa kerana serangga ini sangat tertarik kepada cahaya terang serta sentiasa peka dengan kawasan sekitar rumah kerana serangga ini kerap ditemui melekat pada dinding dan siling.

​"Sekali terkena pada tubuh, air bisanya itu akan memberi kesan di mana-mana sahaja bahagian yang disentuh," jelasnya.

​Tambahnya lagi, satu laporan berhubung kejadian serangan semut charlie di perumahan tersebut telah dibuat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk tindakan lanjut dan difahamkan kes tersebut dalam perhatian pihak JKNT.

 

 

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved