Muktamad! Sultan Sharafuddin Idris Shah bertegas larang ternakan babi di Selangor

LocalPolitics
7 May 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Muktamad! Sultan Sharafuddin Idris Shah bertegas larang ternakan babi di Selangor Image from: Muktamad! Sultan Sharafuddin Idris Shah bertegas larang ternakan babi di Selangor amree07/05/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Mei - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegaskan tidak berkenan langsung sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.


Pendirian tersebut disuarakan baginda menerusi kenyataan daripada Setiausaha Sulit Kanan Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam hantaran akaun Facebook rasmi, Selangor Royal Office.


Status itu turut dilampirkan teks kenyataan bertarikh 7 Mei 2026 dan poster yang memaparkan imej baginda berpakaian baju Melayu dengan perkataan 'Full Stop!' sekali gus memberi mesej bernada muktamad.  

 

 

 

 

 


Sultan Selangor turut menzahirkan kekhuatiran aktiviti penternakan haiwan itu boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.


“Aktiviti ini boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih jutaan penduduk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.


Baginda turut berpandangan kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos amat tinggi selain tidak praktikal dilaksanakan hanya bagi memenuhi keperluan bekalan di Selangor sahaja.


Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mencadangkan agar bekalan daging babi diimport dari negeri-negeri lain, seperti Sarawak, bagi memenuhi keperluan masyarakat yang bukan Islam.


Kenyataan berkenaan turut memetik contoh negara jiran termaju, Singapura yang tidak pernah lagi menjalankan penternakan babi secara domestik dan bergantung kepada sumber import dari luar negara.


Selain faktor alam sekitar, Baginda berpandangan penternakan babi berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah terhad serta nilai hartanah yang tinggi.


“Tanah yang ada di Selangor sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan secara lebih ekonomik dan dapat memberi manfaat luas kepada masyarakat secara menyeluruh,” menurut kenyataan berkenaan.


Sehubungan itu, Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya atau 'full stop' bagi mengelakkan keresahan masyarakat majmuk di negeri berkenaan.

 

 

 

 

 

 

 

Pada masa sama jelas Mohamad Munir, baginda sendiri berhasrat untuk memastikan keamanan dan keharmonian seluruh rakyat negeri tersebut agar terus terpelihara dalam tempoh jangka panjang.


Hantaran berkenaan turut tular dalam kalangan netizen apabila menerima lebih 25,000 tanda suka selain hampir 5,000 komen dan dikongsi kira-kira 6,500 netizen selepas sejam dimuat naik. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article