Mula pulih setelah lengkap pelan regularisasi, Pharmaniaga di landasan kukuh keluar PN17 - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2025 • 9:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mula pulih setelah lengkap pelan regularisasi, Pharmaniaga di landasan kukuh keluar PN17 - MBSB Research

image is not available

23/09/2025 - 09:32

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 SeptPharmaniaga Berhad berada di landasan kukuh keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) seawal suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, keyakinan tersebut dapat dinilai selepas menyaksikan syarikat farmaseutikal tempatan berkenaan berjaya melengkapkan pelan regularisasi secara menyeluruh akhir Ogos 2025.


Langkah strategik ini termasuk pengurangan modal dan penempatan saham baharu menarik penyertaan 19 pelabur institusi, dan meningkatkan saham terbitan kepada 6.557 bilion unit daripada 1.441 bilion.


"Kesannya, pegangan pemegang saham utama menurun daripada 55% kepada 44%, dan memberi ruang kepada pelabur baharu serta mengukuh struktur modal syarikat," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.


Perkembangan ini menandakan titik perubahan penting Pharmaniaga, yang kini fokus kepada pemulihan kewangan jangka panjang dan pengembangan strategik, terutamanya dalam bidang biofarmaseutikal.


Berikutan langkah pemulihan ini, firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 32 sen, berdasarkan unjuran perolehan sesaham FY26 dan sejajar purata industri farmaseutikal di Malaysia.


Pharmaniaga kini kata MBSB Research, menumpukan pertumbuhan ke arah bidang bernilai tinggi yang dijangka dapat menyumbang margin lebih banyak berbanding pengeluaran ubat generik sedia ada.


"Beberapa produk utama dalam perancangan termasuk insulin manusia, GLP-1 untuk rawatan diabetes, serta vaksin seperti influenza, hepatitis, PCV13 dan vaksin hexavalent 6-dalam-1," tambahnya.


Insulin manusia dijangka menjadi pemacu utama pendapatan baharu, terutama jika Pharmaniaga berjaya memperoleh tender Kementerian Kesihatan bagi membekalkan 400 juta dos dalam tempoh tiga tahun.


Produk ini juga kata MBSB Research, dijangka menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelang akhir 2025 dan memberi kelebihan kompetitif penting kepada syarikat.


"Sebagai memenuhi komitmen di bawah konsesi, Pharmaniaga membeli hartanah kilang dan pejabat di Pulau Pinang iaitu sebahagian daripada pelan logistik bagi menambah empat gudang baharu," katanya.


Syarikat juga merancang mempergiat pelancaran 10 produk generik baharu setiap tahun berbanding hanya dua sebelum ini, sejajar usaha kerajaan mempercepatkan kelulusan ubat generik tempatan.


Tambah MBSB Research, Pharmaniaga turut meneroka segmen peranti dan barangan guna habis seperti produk pergigian, dan sokongan ortopedik, yang menyumbang hingga RM45 juta kepada hasil tahunan.


Bagi separuh pertama FY25, Pharmaniaga mencatatkan hasil RM1.98 bilion, naik 10% tahun ke tahun (YoY) dan keuntungan bersih teras RM33.5 juta (+18% YoY), dipacu oleh peningkatan permintaan.


"Usaha ini turut disokong pengurusan kos yang lebih cekap serta syarikat itu juga menjangkakan pertumbuhan hasil logistik dan pengedaran sebanyak 15 hingga 20% YoY untuk 2HFY25," katanya.


Bagaimanapun jelas MBSB Research, antara cabaran utama yang dihadapi ialah ketidaktentuan tender insulin serta kemungkinan perubahan dasar harga ubat boleh memberi tekanan ke atas margin untung.


Firma penyelidikan tersebut namun masih lagi berpandangan yang risiko kali ini adalah terkawal, memandangkan Pharmaniaga mempunyai daya saing harga dan kelebihan daripada pensijilan halal.


Syarikat itu kini berada di fasa penting kebangkitan keluar dari PN17 dan mara ke hadapan dengan strategi pemulihan mampan selain pelbagai usaha dijangka mampu menjadi pemacu utama pertumbuhan.


"Dengan dukungan kerajaan, asas kewangan kukuh, dan strategi komersial selari dengan arah aliran global, kami yakin Pharmaniaga satu pilihan pelaburan yang menarik," katanya. - DagangNews.com

standard