Mulanya ditegur cantik, gadis terharu kakak dan aunty India bantu betulkan sari depan LRT

Women's Fashion
2 Sep 2022 • 3:03 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PAKAIAN tradisional sering menjadi pilihan ramai ketika meraikan Hari Kebangsaan. Namun, jarang dilihat individu memilih untuk menggayakan busana tradisional kaum lain seperti gadis ini yang memakai sari yang menjadi pakaian wanita India.

Indah dengan keunikan fabrik pelbagai warna, pemakaian sari memerlukan wanita melilit kain sepanjang lima hingga enam meter.

Gadis, Diyana Azmi yang memakai busana itu pada sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini menjadi tular di laman sosial TikTok selepas berkongsi video keprihatinan sekumpulan wanita India yang secara suka rela memperkemaskan sari yang dipakainya.

image is not available

“Ini kali pertama saya memakai sari, tengok video tutorial dari YouTube sahaja. Tiba-tiba mereka (wanita berbangsa India) menegur dan memuji saya kelihatan cantik memakai sari dan menawarkan diri untuk memperbetulkannya sekali.

“Masa ini saya rasa diri menjadi tumpuan ramai kerana ketika itu berada di depan tangga Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek. Terima kasih kakak dan makcik,” titipnya.

 

Diyana turut berkongsi video yang menunjukkan sari dipakai olehnya sendiri sebelum itu kurang kemas dan terharu dengan bantuan yang dihulurkan.

image is not available

image is not available

“Terima kasih kakak dan makcik-makcik, ini memori manis buat saya. Kita 1 Malaysia,” coretnya.

Warga siber meluahkan rasa terharu melihat perlakuan harmoni wanita daripada dua bangsa itu, lebih-lebih lagi apabila ia terjadi pada tarikh ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65.

– “Bergenang mata ini melihat individu berlainan bangsa bantu membantu.”

– “Tidak tahu nak kata apa, kali ini aura 1 Malaysia benar-benar dirasai. Selamat Hari Merdeka semua.”

– “Momen yang cukup manis, saya rasa seronok lihat keprihatinan sebegini.”

– “Kita sama-sama rakyat Malaysia dan saling menghormati. Cantiknya awak pakai sari.”

– “Air mataku mengalir…terharu dan bangga jadi anak Malaysia.”

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan