Munafik versi Indonesia bawa identiti tersendiri

EntertainmentMovie
2 Oct 2026 • 12:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Munafik versi Indonesia bawa identiti tersendiri

FILEM seram yang pernah menjadi fenomena Munafik arahan Syamsul Yusof diangkat semula dalam versi Indonesia dengan tajuk Munafik : Melawan Iblis.

Merekodkan hampir 150,000 penonton pada hari pertama tayangan di Indonesia mulai 3 September lalu, Munafik : Melawan Iblis mengungguli carta ‘box office’ negara jiran itu dan mengetepikan beberapa filem antarabangsa sekali gus mencerminkan sokongan dan keterujaan luar biasa penonton terhadap filem itu.

Kini, penonton di Malaysia juga boleh merasakan sendiri gelombang seram Munafik versi Indonesia di pawagam bermula Khamis lalu.

Penerbit Eksekutif Munafik : Melawan Iblis Datuk Dr Yusof Haslam meluahkan keterujaan dan kesyukurannya apabila karya ikonik yang pernah mencipta sejarah dalam industri perfileman Malaysia kini diangkat semula dalam versi Indonesia.

“Sambutan luar biasa yang diterima di Indonesia membuktikan bahawa kekuatan jalan cerita dan tema yang dibawakan Munafik mampu merentasi sempadan negara serta dekat di hati penonton Nusantara.

“Lebih membanggakan, naskhah ini tidak sekadar diadaptasi semula tetapi diberikan nafas dan identiti tersendiri yang berjaya menarik perhatian generasi penonton baharu.

“Apabila filem ini ditayangkan di Malaysia saya berharap penonton tempatan dapat menerima Munafik: Melawan Iblis dengan keterbukaan yang sama sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah dilakar oleh Munafik terdahulu,” katanya.

Munafik: Melawan Iblis mengangkat sebuah kisah yang dekat dengan penonton Nusantara menerusi pendekatan baharu yang lebih segar, penuh dengan emosi dan berdiri dengan identitinya tersendiri.

Naskhah ini diarahkan oleh pengarah Guntur Soeharjanto yang cukup dikenali menerusi filem-filem pecah panggung seperti Ayat-Ayat Cinta 2, Makmum 2 dan Norma: Antara Mertua dan Menantu.

Lebih daripada sekadar filem seram, Munafik: Melawan Iblis menampilkan pergelutan Ustaz Adam, seorang pengamal ruqyah yang kehilangan arah setelah tragedi meragut insan paling dicintainya.

Di sebalik babak ruqyah, gangguan mistik dan kemunculan kuasa jahat, filem ini menyelami persoalan yang lebih mendalam, iaitu bagaimana seseorang yang selama ini membimbing orang lain boleh berdepan krisis kepercayaan apabila diuji dengan kehilangan.

Ketika iman mula goyah, rasa bersalah semakin menghimpit dan kebenaran demi kebenaran terbongkar, ketakutan yang hadir bukan lagi sekadar daripada iblis, tetapi daripada kegelapan yang menyelubungi dalam diri sendiri.

Kekuatan filem ini turut diserlahkan menerusi komitmen luar biasa barisan pelakonnya. Arya Saloka yang menjalani persediaan intensif dengan mendalami ilmu ruqyah serta memperhalusi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi menghidupkan watak Ustaz Adam.

“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang membawakan watak Ustaz Adam dalam Munafik: Melawan Iblis. Melalui filem ini, saya bukan sahaja dapat berkembang sebagai pelakon, malah berpeluang memperbaiki dan memperkemaskan lagi bacaan Al-Quran saya.

“Bagi saya, ini satu rezeki dan pengalaman yang sangat bermakna apabila terlibat dalam sebuah naskhah yang turut memberi kesan positif kepada diri saya sebagai individu,” kata Arya Saloka.

Digandingkan bersama pelakon terkenal Acha Septriasa menerusi watak Fitri, karakter itu menguji kemampuan beliau dalam antara peranan paling mencabar sepanjang kerjayanya.

Acha turut melaksanakan sendiri pelbagai babak fizikal termasuk adegan kerasukan dan merayap di dinding.

“Sepanjang hampir dua dekad bergelar pelakon, jarang sekali saya berpeluang membawakan watak yang benar-benar mencabar seperti Fitri. Dia seorang wanita yang sedang bergelut dengan kehilangan dan masih mencari kekuatan untuk menerima takdir yang menimpanya.

“Saya rasa emosi itu sangat dekat dengan realiti sebenar dan itulah yang membuatkan watak ini begitu istimewa. Dari sudut fizikal pula, antara cabaran paling diingati sudah tentu ketika saya perlu menjalani babak merayap di dinding. Pengalaman itu sememangnya antara yang paling sukar tetapi juga paling bermakna sepanjang penggambaran,” katanya.

Filem ini turut dibintangi oleh Dimas Aditya, Faqih Alaydrus, Donny Damara, Widi Dwinanda, Annisa Hertami, Nova Eliza, Oce Permatasari, dan Elvira Devinamira.

Ia merupakan terbitan Unlimited Production dan Skop Productions serta sokongan oleh Legacy Pictures, AZ Films, dan Komet Productions. Astro Shaw bertindak selaku rakan pemasaran di Malaysia.

Munafik : Melawan Iblis menjengah pawagam seluruh Malaysia bermula Khamis (1 Oktober).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved