Mungkin Sabari dipukau & dilarikan. 'Pengamal perubatan alternatif dakwa ayah masih hidup, bimbang keadaan lemah'

LocalPolitics
24 Sep 2024 • 9:32 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KELUARGA warga emas yang hilang sejak 3 September lepas, tidak menolak kemungkinan bahawa Sabari Baharom, 62, mungkin dipukau individu tertentu sebelum dilarikan ke tempat yang sukar dijejaki menyebabkan operasi mencarinya masih menemui jalan buntu.

Anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi, 25, berkata gerak hati mereka sekeluarga kuat mengatakan bahawa ayahnya masih hidup dan bimbang keadaannya yang lemah setelah hampir tiga minggu hilang.

"Kami yakin ayah masih hidup, dia mungkin dipukau. Kami sekeluarga turut mencuba alternatif sendiri berjumpa imam masjid dan orang alim untuk mengadakan bacaan Yasin dan mendoakan keselamatan ayah," katanya.

image is not available

Muhammad Amir berkata sejak kisah kehilangan ayahnya diketahui umum, ramai pengamal perubatan Islam dan alternatif menghubunginya untuk membantu dalam pencarian Sabari.

"Kira-kira 15 pengamal perubatan Islam dan alternatif termasuk dari Sarawak serta negara jiran, Indonesia, mendakwa bahawa ayah masih hidup," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling DSP Charan Ai Wan ketika dihubungi berkata pihaknya masih menyiasat kes itu dan belum ada perkembangan terbaharu.

image is not available

"Setakat ini belum ada perkembangan. Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut membantu menyiasat kes ini," katanya.

Media terdahulu melaporkan mengenai kehilangan Sabari selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Baling menaiki kereta jenis Proton Waja sebelum kereta yang dipandu dijumpai penduduk terbakar di Belantik, Sik dan keluarganya dimaklumkan mengenai perkara itu Jumaat lepas.

image is not available

Telefon bimbit miliknya gagal dihubungi, bagaimanapun keluarganya mengesan berlaku pengeluaran wang dalam jumlah agak besar menerusi beberapa transaksi daripada satu akaun bank miliknya, dua hari selepas kehilangan warga emas itu.

Sumber: Bernama