‘Mungkin YB Jai Lupa Pernah Jadi Sebahagian Kerajaan Tebuk Atap’ - Dr Akmal

Politics
30 Mar 2023 • 9:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Mohamad Akmal Saleh - Gambar dari Facebook Akmal Saleh

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Dr Mohamad Akmal Saleh menyindir rakan exconya, Datuk Mohammad Jailani Khamis susulan kenyataan pemimpin itu bahawa Melaka akan menerima Ketua Menteri ‘pintu belakang’.

Beliau berkata, bagi makluman Muhammad Jailani, kerajaan tebuk atap atau kerajaan pintu belakang itu hanya akan wujud apabila Ketua Menteri dijatuhkan.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka itu menegaskan, ia sama seperti ketika Muhammad Jailani melompat keluar daripada Pakatan Harapan (PH), sehingga Ketua Menteri ketika itu, hilang majoriti dan jawatan.

“Kali ini, apabila Ketua Menteri meletakkan jawatan dengan sendirinya, maka kekosongan itu perlulah diisi mana-mana wakil rakyat yang dirasakan layak oleh parti memerintah.

“Parti yang dipilih rakyat tetap menjadi kerajaan.

“Mungkin YB Jai (Muhammad Jailani) lupa kot masa YB Jai jadi sebahagian dari kerajaan tebuk atap dulu,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Muhammad Jailani mendakwa Melaka akan mendapat Ketua Menteri ‘pintu belakang’ selepas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Sulaiman Ali meletakkan jawatan.

Peletakan jawatan beliau itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, Muhammad Jailani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka mendakwa rakyat memahami apa itu istilah ‘pintu belakang’ seperti didakwanya. - Getaran, 30 Mac 2023