Sumber: Flagpedia
Siapa saja yang tidak tahu tentang krisis ekonomi yang sedang melanda Sri Lanka sekarang? Beberapa bulan lepas, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa sendiri mengakui bahawa negara itu berada di ambang muflis kerana kesalahannya membuat keputusan dalam pentadbirannya. Kita telah saksikan video-video yang tular menunjukkan rakyat Sri Lanka mengadakan protes, tunjuk perasaan dan rusuhan kerana mereka marah-marah dengan cara pengurusan negara yang cucar kacir sehingga menyebabkan Sri Lanka kini mempunyai hutang luar negara lebih daripada AS$25 bilion (RM1.07 trilion). Dahlah mereka terpaksa melunaskan hutang sebanyak AS$7 bilion pada tahun ini juga. Mana mereka nak dapatkan wang sejumlah itu? Disebabkan perkara inilah, pada bulan Julai 2022, Sri Lanka telah diisytihar muflis dan situasi ini dijangka berlanjutan sehingga tahun hadapan (2023).
Kemudian, terdapat suatu berita yang dikongsi warga Malaysia di WhatsApp dan Telegram bahawa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ada menyatakan bahawa Malaysia merupakan negara kedua tertinggi berhutang selepas Sri Lanka. Walau bagaimanapun, berita ini adalah palsu. Namun begitu, ia tidak bermakna warga Malaysia tidak perlu mengambil iktibar daripada krisis yang menimpa negara Sri Lanka tersebut.
Bagaimana negara Sri Lanka boleh jatuh muflis?
Di Sri Lanka, struktur politik dan pengurusan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik mereka tidak berkesan dalam memulihkan isu yang dihadapi negara tersebut, walaupun setelah Presiden Rajapaksa merombak ahli kabinetnya tahun ini. Senang kata, rombakan itu dilakukan terlalu lambat. Orang putih kata, “too little, too late”.
Selain daripada itu, ahli politik negara tersebut lebih fokus ke atas dasar “populis” kerana mereka ingin mendapatkan sokongan rakyat sewaktu pilihanraya sebaliknya, apa yang patut mereka lakukan ialah melakukan reformasi ke atas pengurusan kewangan negara tersebut. Presiden Rajapaksa sendiri memerintah negara tersebut dengan mendahulukan “kroninya”, termasuk memilih kaumnya sendiri iaitu Sinhala, dan mengenepikan masalah-masalah yang lain.

Masalah negara kalau ditolak ketepi, makin lama makin bertimbun dan begitulah yang dihadapi Sri Lanka apabila mereka bertindak meminjam wang dalam matawang asing (Dolar Amerika) dalam jumlah yang besar untuk kononnya dapat memperbaiki situasi mereka dengan tidak membuat perkiraan yang betul sekiranya mereka boleh membayar balik hutang-hutang tersebut. Akhirnya, hutang dan faedah daripada jumlah pinjaman yang terpaksa dibayar melebihi pendapatan negara yang sedia ada.
Laporan pada tahun 2017 menunjukkan kerajaan Sri Lanka membelanjakan 83% daripada kesulurahan pendapatan negara tersebut untuk hanya membayar hutang. Kemudian, walaupun mereka berdepan defisit fiskal dan akaun semasa yang tinggi, kerajaan Sri Lanka masih tetap membuat pinjaman mata wang asing. Apabila perkara ini berlaku, tentunya inflasi melonjak tinggi dan yang paling terkesan siapa lagi jika bukan Rakyat mereka sendiri?
Isu di Sri Lanka ini boleh diambil sebagai teladan bagi rakyat Malaysia. Apa yang boleh kita lihat, krisis ekonomi negara tidak berlaku dengan sekelip mata tetapi ia memakan masa perlahan-lahan sehingga satu hari rakyat sedar, inflasi yang terlalu tinggi sehingga tidak mampu membeli keperluan harian pun. Waktu itu, baru semua rahsia terbongkar. Oleh itu, kita jangan mudah tertipu dengan janji-janji atau kata-kata manis orang yang berkuasa kerana bak kata pepatah, “sepandai-pandai membungkus, yang busuk berbau juga”. Cuma yang menyedihkan, bila kebenaran terbongkar, sudah tiada jalan untuk patah balik yang boleh diambil, seperti yang berlaku di Sri Lanka waktu ini.
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

