Mungkinkah Gunung Kinabalu akan ada kereta kabel?

LocalEnvironment
2 Apr 2026 • 8:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Delegasi Jesselton International Sdn Bhd ketika kunjungan hormat berkaitan pembentangan cadangan projek Kinabalu Cable Car dan laporan kajian kebolehlaksanaannya bagi kawasan Kundasang dan Gunung Kinabalu.

KOTA KINABALU - Sebarang cadangan pembangunan melibatkan kawasan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada prinsip kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin ketika menerima kunjungan hormat daripada pihak Jesselton International Sdn Bhd berhubung pembentangan cadangan projek Kinabalu Cable Car bersama laporan kajian kebolehlaksanaannya bagi kawasan Kundasang serta Gunung Kinabalu.

Menurutnya, Gunung Kinabalu yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu mempunyai nilai biodiversiti serta kepentingan ekologi yang tinggi.

Justeru katanya, ia memerlukan pendekatan pembangunan yang sangat berhati-hati.

"Sebarang pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata, kementerian tidak menolak pembangunan yang membawa manfaat ekonomi, namun ia mesti dilaksanakan secara terkawal dan tidak memberi tekanan berlebihan kepada ekosistem sensitif di kawasan berkenaan.

"Kementerian menyokong pembangunan yang membawa manfaat ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan.

"Namun, ia mesti dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa di peringkat global, terdapat beberapa contoh pembangunan kereta kabel di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dilaksanakan dengan pendekatan kawalan ketat dan berasaskan pemuliharaan.

Antaranya Skyrail Rainforest Cableway di Wet Tropics of Queensland, Australia, Teleférico del Teide di Taman Negara Teide, Sepanyol serta Tianzi Mountain Cableway di Zhangjiajie, China yang berfungsi sebagai akses terkawal ke kawasan sensitif.

Selain itu, Table Mountain Aerial Cableway di Afrika Selatan dan Sugarloaf Cable Car di Rio de Janeiro, Brazil turut menunjukkan bagaimana infrastruktur pelancongan boleh dibangunkan tanpa menjejaskan nilai biodiversiti, melalui pengurusan pelawat yang terkawal serta impak minimum terhadap alam sekitar.

"Pengalaman antarabangsa menunjukkan bahawa kemudahan seperti ini boleh membantu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian, di samping meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan.

"Namun pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan," katanya.

Beliau menegaskan, pendekatan ‘conservation first’ perlu dijadikan asas dalam menilai cadangan projek berkenaan, selain memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu.

"Selain itu, cadangan projek juga perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau, termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti, perlindungan nilai budaya serta spiritual yang berkait rapat dengan Gunung Kinabalu," katanya.

Jafry berkata, penggunaan teknologi hijau, reka bentuk mesra alam serta pematuhan kepada amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan turut diberi penekanan.

"Sebarang keputusan berkaitan cadangan ini akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains, melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Sabah Parks serta pihak berkepentingan lain," katanya.

Beliau menambah kementerian kekal komited memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, selaras aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi serta lestari.