Murid 12 Tahun Maut, Motosikal Ditunggang Terbabas

6 Aug 2025 • 8:13 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Murid 12 Tahun Maut, Motosikal Ditunggang Terbabas

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia selepas lapan jam terlibat dalam kemalangan motosikal di Jalan Get Paloh, Kluang, Johor, pada petang 4 Ogos lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mangsa sedang dalam perjalanan dari Jalan Tengah menuju ke Jalan Get Paloh ketika kejadian berlaku.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 1.10 petang apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan melanggar batu penghadang di bahu jalan.

Selepas kemalangan, mangsa telah dibawa oleh bapanya ke sebuah klinik swasta di bandar Kluang untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa pulang ke kediaman mereka di Gelang Patah, Johor.

Mengulas lanjut, Bahrin menjelaskan, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di rumahnya sekitar jam 9.00 malam hari yang sama.

Pihak polis kemudiannya menerima makluman mengenai kematian tersebut daripada bapa mangsa pada jam 2.00 pagi, 5 Ogos 2025.

Tambah Bahrin, kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Polis Daerah Kluang menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.