Murid darjah 6 belum tahu kakak, adik maut nahas

2 Oct 2026 • 9:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Murid darjah 6 belum tahu kakak, adik maut nahas

IPOH – Murid Tahun Enam yang terselamat dalam kemalangan di Jalan Perpaduan, di sini hari ini, masih belum mengetahui bahawa kakak dan adik bongsunya telah meninggal dunia dalam nahas berkenaan.

Kakak sulung mangsa, Nurul Aeina Ibrahim, 28, berkata, perkara tersebut belum dimaklumkan kepada Norhayati Qaliesha, 12, kerana keadaannya yang masih kritikal dan perlu menjalani pembedahan.

“Dia dah sedar dan ada tanya (keadaan dua adik-beradik lain) tapi kami belum beritahu lagi.
Keadaannya pun masih kritikal dan sedang menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bagus, Tambun di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.40 pagi tadi, dua beradik, Elyana Nasuha, 19, dan Suhaila, 10, maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dipandu wanita berusia 19 tahun.

Kejadian berlaku ketika Elyana yang menunggang motosikal jenis Yamaha EZ115 dalam perjalanan menghantar dua adiknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Dermawan.

Mengulas lanjut, Nurul Aeina berkata, dia diberitahu mengenai kejadian menimpa tiga adiknya itu daripada guru sekolah mereka sekitar pukul 8 pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, ketika itu dia hanya dimaklumkan mengenai kemalangan dan tidak diberitahu bahawa mereka sudah meninggal dunia.

“Bila saya pergi ke lokasi, barulah saya diberitahu yang mereka telah tiada,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang perubahan ketara yang dilihat pada kedua-dua adiknya sebelum mereka ke sekolah pagi tadi, malah mereka kelihatan lebih ceria daripada biasa.

Katanya, suaminya, Norhanizam Muhammad Yusri, 28, turut terkesan dengan kejadian itu kerana mempunyai hubungan rapat dengan ketiga-tiga adiknya terutama Suhaila.

“Mereka sangat rapat kerana suami yang ambil dan hantar adik-adik ke sekolah sebelum sekarang dibantu adik-adik lain,” katanya.

Allahyarham Elyana dan Suhaila selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun sekitar pukul 6.30 petang.

Terdahulu, keluarga mangsa menerima kunjungan Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Muhammad Izzudin Hariz Bohari yang menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM2,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Tambun.

The post Murid darjah 6 belum tahu kakak, adik maut nahas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved