Murid ditimpa pam tandas masih trauma

21 Jul 2023 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhamad Arafat (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nur Alisha Adawiyah ketika melawat SK Perpaduan di sini pada Jumaat.

image is not available
Muhamad Arafat (duduk) melihat tangki pam tandas yang jatuh menimpa murid tersebut Nur Alisha Adawiyah ketika melawat SK Perpaduan di sini pada Jumaat.

IPOH - Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan yang cedera ditimpa pam tandas pada Selasa lalu mengakui masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Bercerita mengenai kejadian itu, Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, berkata, ketika kejadian dia ditemani rakan kira-kira jam 4 petang.

Katanya, ketika ingin menarik tali pam tandas tersebut, tiba-tiba tangki berkenaan jatuh dan terkena kepala sebelah kiri.

"Saya terkejut dan menangis bila tangki itu jatuh. Lepas itu saya terus beritahu cikgu.

"Sampai sekarang saya risau nak ke tandas. Kalau pergi tandas memang kena ada teman," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Perpaduan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafar Varisai Mahamad yang melawat sekolah berkenaan memaklumkan kejadian itu sudah berada dalam pengetahuan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengambil tindakan untuk menambah baik kemudahan tandas yang rosak.

Beliau berkata, tandas sedia ada baru sahaja dinaik taraf tahun lepas dengan kos keseluruhan RM200,000 bagi 35 unit di sekolah berkenaan.

Jelasnya, untuk sementara waktu, murid-murid akan menggunakan tandas guru sehingga tandas dibaiki.

Arafat berkata, bagi murid berkenaan pula, beberapa bantuan akan diberikan termasuklah sesi kaunseling.