Murid prasekolah maut dilanggar van sekolah

19 Jun 2024 • 9:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Seorang murid prasekolah maut selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian melibatkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu berlaku pada jam 11.35 pagi.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu van wanita berusia 50 tahun menurunkan kanak-kanak itu dan abangnya yang berusia enam tahun di hadapan rumah mereka.

"Pemandu van itu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa (berjalan) melepasi belakang van dan beranggapan mangsa turut mengikuti abangnya.

"Pemandu itu telah terlanggar mangsa yang lalu di hadapan van tanpa disedari. Pemandu itu kemudian turun melihat keadaan mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kanak-kanak itu yang cedera parah dibawa ke Klinik Kesihatan Masai oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Mohd Sohaimi berkata pemandu berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved