
KOTA BELUD: Seorang murid sekolah berusia 12 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Kesapang, di sini, pada Selasa.
Muzamir Mahadir (gambar) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dalam tragedi pada jam 5.40 petang itu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Shahrudin Mat Husain berkata siasatan awal mendapati pemandu Perodua Bezza berusia 27 tahun dan pemandu lori Isuzu berusia 31 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud ketika kejadian berlaku.
Mangsa dipercayai tiba-tiba berlari ke arah jalan sebelum terlanggar bahagian kiri belakang Perodua Bezza berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan kemudian dilanggar oleh lori yang berada di belakang Bezza,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, satu sumber berkata mangsa baru sahaja selesai memancing dan gembira selepas berjaya memperoleh hasil tangkapan.
Mangsa dikatakan ingin menunjukkan ikan yang ditangkapnya kepada ahli keluarganya sebelum melintas jalan.




