Musang berwajah suami: Kahwin bukan untuk menyakiti

LocalOpinion
6 May 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Musang berwajah suami: Kahwin bukan untuk menyakiti
Hukuman penjara 14 tahun serta-merta terhadap lelaki yang mencederakan bekas isterinya sehingga koma, membawa mesej yang sangat jelas.

MERAK Jalanan lega apabila Mahkamah Rayuan akhirnya meletakkan noktah yang sepatutnya. Hukuman penjara 14 tahun serta-merta terhadap lelaki yang mencederakan bekas isterinya sehingga koma, membawa mesej yang sangat jelas. Undang-undang negara tidak akan berkompromi dengan keganasan rumah tangga yang melampau.

Istilah ‘mayat hidup’ yang disebut hakim sangat dalam maknanya. Ia bukan sekadar kiasan, tetapi satu cerminan penderitaan yang tidak terperi.

Bayangkan seorang wanita yang sepatutnya dilindungi, kini terpaksa menanggung penderitaan kekal, malah anak di dalam kandungan juga tidak dapat diselamatkan.

Ini adalah harga yang terlalu mahal buat seorang wanita yang mengharapkan perlindungan daripada seorang suami.

Namun, itu hanyalah permulaan. Pendedahan polis baru-baru ini lebih menarik perhatian Merak Jalanan. Lelaki sama direman bagi membantu siasatan kes pukul satu lagi isterinya sehingga keguguran. Rupa-rupanya dia sudah sembilan kali kahwin.

Merak Jalanan tertanya-tanya juga apa rahsianya begitu mudah menawan hati wanita sedangkan satu negara pernah gempar dengan kisahnya.

Kita perlu belajar daripada kes ini. Perkahwinan bukanlah lesen untuk menyakiti, apatah lagi untuk menghancurkan masa depan pasangan.

Masyarakat, terutamanya wanita, perlu lebih berwaspada dalam mengenali latar belakang calon pasangan.

Di luar sana, mungkin masih ada seorang predator tegar yang licik bersandiwara di sebalik imej suami. Maka, berwaspadalah, jangan hanya melihat pada rupa dan janji, kerana luka yang ditinggalkan oleh 'musang' sebegini selalunya tidak akan pernah sembuh.