Dua bulan selepas Muse Spark dilancarkan, Meta pagi ini mengumumkan model baharu Muse Spark 1.1 yang aksesnya dibuka hanya kepada pembangun sahaja pada ketika ini. Spark 1.1 dikatakan mempunyai kemampuan melakukan proses pengaturcaraan program, menggunakan alat serta perisian luar, menjana imej serta video dan melakukan tugasan kompleks yang memerlukan beberapa langkah untuk dilengkapkan.

Spark 1.1 diumumkan selepas Muse Image dan Muse Video dilancarkan dua hari lalu. Ia dipromosikan sebagai model paling berkeupayaan untuk tugasan pengaturcaraan dan tugas ejen AI dalam dunia sebenar dengan sasaran menghasilkan “kecerdasan buatan peribadi” yang dijanjikan Mark Zuckerberg selepas menubuhkan Meta Superintelligence Labs tahun lalu.
Muse Spark 1.1 kini boleh diakses pembangun sebagai pratonton awal. Ia dijangka menggantikan model Llama dalam chatbot di WhatsApp, Instagram, Facebook, dan juga cermin mata pintar Meta.

