Muslim Pro capai 150 juta muat turun di seluruh dunia, rancang jadikan Malaysia sebagai hab kandungan global
zulfadli
22/06/2023 - 11:56
KUALA LUMPUR 22 Jun - Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Muslim terkemuka di dunia, berjaya melepasi sebanyak 150 juta muat turun di seluruh dunia dengan menetapkan beberapa peringkat untuk rancangan besar dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Aplikasi yang bermula pada 2009 itu adalah satu cara memudahkan jutaan umat Islam untuk beribadah di mana jua mereka berada. Sejak itu, aplikasi ini telah diterjemahkan ke dalam 22 bahasa dengan lebih daripada 60 terjemahan al-Quran tersedia.
Ia semakin berkembang di Malaysia apabila perkhidmatan penstriman, Qalbox diperkenalkan ke dalam aplikasi itu pada Disember 2022.
Co-CEO Bitsmedia, Fara Abdullah berkata, sebanyak 12 juta muat turun merupakan daripada pengguna Malaysia, yang mana kejayaan ini menandakan negara memainkan peranan sebagai salah satu pemacu pertumbuhan penting bagi Muslim Pro dan Qalbox.
"Berkat sokongan pengguna aplikasi kami, Muslim Pro merupakan aplikasi mudah alih nombor satu yang paling banyak dimuat turun di Malaysia sepanjang Ramadan lalu dalam semua kategori.
"Kami juga ingin menghubungkan kejayaan kami kepada kerjasama strategik dengan syarikat seperti Maxis dan Viu Malaysia yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kami," katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah Fara, pelancaran Qalbox di Kuala Lumpur baru-baru ini bersama rakan kongsi seperti Astro, Pixel Play, dan Nads Media menunjukkan tekad untuk terlibat dan bekerjasama dengan pencipta kandungan lokal Malaysia, seperti Qalbox Original yang terbaru 'I Am Muslim' dan 'Food From the Heart'.

Sehingga kini, Bitsmedia telah membelanjakan lebih daripada RM3 juta untuk bekerjasama dengan penyedia kandungan Malaysia, rumah produksi, dan syarikat pasca-produksi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kandungan bagi rantau ini dan juga di peringkat global.
Dalam rancangan masa hadapan, Muslim Pro bertujuan untuk memperuntukkan 50% daripada bajet kandungan tahunan yang akan datang kepada pasaran Malaysia, dengan itu mengukuhkan komitmen mereka terhadap bekerjasama dengan bakat-bakat tempatan dan membina perkongsian kandungan yang kukuh.
Ini selaras dengan aspirasi jangka panjang Muslim Pro dan Qalbox untuk menjadi jenama yang dikenali ramai di pasaran Malaysia.
Bitsmedia, syarikat induk bagi Muslim Pro dan Qalbox, sentiasa melihat Malaysia sebagai pemacu pertumbuhan utama bagi aplikasi itu untuk komuniti Muslim yang berpengaruh di Malaysia.
Dengan membina kerjasama strategik dengan syarikat seperti Maxis dan Viu, Muslim Pro telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain penting di pasaran Malaysia.
Muslim Pro merancang untuk mengambil langkah yang besar dengan melipatgandakan pasukan tempatan mereka tiga kali ganda dalam tempoh 24 bulan akan datang. - DagangNews.com



