Muzium Dan Galeri Seni Bank Negara Anjur Pameran Gerak Bayang

26 Aug 2023 • 12:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pameran Gerak Bayang: Seni Penceritaan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara dari 19 Ogos lepas hingga 28 Januari 2024. - gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Sebanyak 144 karya seni termasuk instrumen wayang kulit, catan, arca dan media baharu kini dipamerkan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara (BNM MAG), di sini menerusi pameran “Gerak Bayang: Seni Penceritaan”.

Kurator BNM MAG Siti Melorinda Khuzaini Sakdudin berkata semua karya seni yang dipamerkan bermula 19 Ogos lepas hingga 28 Januari 2024 itu disumbangkan oleh 39 pelukis terkemuka dan baharu antaranya Nik Zainal Abidin, Ismail Mat Hussin, Nik Husyaidie dan Adeputra.

Beliau berkata pengunjung berpeluang menyaksikan ekspresi artistik yang pelbagai dan karya itu menggunakan pelbagai medium termasuk kulit kerbau atau lembu, kertas dan kanvas serta melalui penyatuan teknik media baharu yang canggih. 

image is not available
Pengunjung boleh menghayati karya 39 pelukis terkemuka di pameran Gerak Bayang: Seni Penceritaan. – gambar BERNAMA

“Usaha ini ialah satu daripada apresiasi kepada pewayangan kerana tidak semua orang berpeluang melihat wayang kulit dan bagaimana menunjukkan pelukis menggunakan elemen wayang kulit dalam karya seni, jadi ada gabungan di situ.

“ … dan juga dari segi penceritaan, kalau dulu Tok Dalang sebagai pencerita, jadi sekarang pelukis atau pengarca menggunakan teknik mereka sendiri untuk bercerita. Secara tidak langsung, pelukis berkongsi kepada umum apa yang Tok Dalang persembahkan dalam wayang kulit melalui karya seni lukis pula,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

image is not available
Sebanyak 144 karya seni termasuk instrument wayang kulit dipamerkan secara percuma di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara (BNM MAG) sehingga 28 Januari 2024. – gambar BERNAMA

Siti Melorinda berkata pada pameran itu yang dibuka secara percuma kepada orang awam turut diadakan seperti bengkel seni yang dikendalikan oleh seniman, ceramah seni, bengkel membuat boneka dan persembahan wayang kulit.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pameran berkenaan boleh melayari museum.bnm.gov.my/gerakbayang atau menerusi Facebook @BNM.MAG. - BERNAMA