Muzium di Melaka rekod 60,000 pengunjung sepanjang Januari lepas

4 Feb 2024 • 3:14 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Seramai 60,000 orang direkodkan berkunjung ke muzium di Melaka sepanjang Januari lepas dan jumlah tersebut dijangka meningkat berganda pada bulan ini berikutan musim cuti akhir persekolahan bermula minggu depan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata sasaran itu juga berdasarkan tawaran kemasukan percuma ke destinasi tarikan pelancongan di Melaka termasuk 21 muzium sempena Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Negara pada 20 Feb ini.

“Kehadiran pengunjung di negeri ini juga dilihat naik mendadak sejak awal tahun, sebagai contoh bilangan pengunjung muzium di negeri ini meningkat kepada 60,000 orang berbanding hanya 30,000 orang bagi tempoh sama tahun lepas.

“Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) juga pada bulan ini ia bertemakan ‘muzium’ dan sudah tentu setiap muzium di negeri ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang dilihat mampu menarik kunjungan pelancong,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program SWM Kasih Misi Sampul Merah membabitkan 30 penerima di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Telok Mas yang turut dihadiri Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin di sini hari ini.

Abdul Razak berkata pelbagai acara menarik turut diatur sepanjang bulan ini termasuk program utama iaitu memperingati Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Negara yang melibatkan perarakan dan persembahan muzikal dengan sasaran seramai 30,000 pengunjung.

Katanya menerusi pelbagai inisiatif kerajaan negeri ia dilihat akan merancakkan TMM2024 sekali gus mencapai sasaran pelancong dan pengunjung melebihi 18 juta ke Melaka tahun ini.

Sementara itu Pengurus Besar Korporat SWM Enviroment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata sempena sambutan Tahun Baharu Cina SWM Environment akan menumpukan operasi pembersihan di dua kawasan pelancong iaitu di Jonker Walk dan sekitar Bangunan Merah Stadhuys di Banda Hilir.

Katanya operasi di kawasan tersebut akan diteruskan bermula 4 petang hingga 1 pagi dengan tambahan tenaga kerja sebanyak 10 hingga 15 orang di kawasan tumpuan utama pelancong di situ.

“Selain itu sempena Tahun Baharu Cina, SWM Enviroment juga menyumbangan barangan keperluan dapur kepada 30 keluarga di sekitar Semabok, Taman Seri Telok Mas, Kampung Tersusun Bukit Larang dan Ujong Pasir bagi meringankan beban mereka,“ katanya. - Bernama