
Kota Kinabalu: Muzium Sabah kini menawarkan pengalaman lebih imersif buat pengunjung menerusi pelancaran teknologi realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) berkapasiti tinggi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata menerusi teknologi berkenaan pengunjung bukan sahaja dapat melihat malah ‘memasuki’ rumah-rumah tradisional Bajau, Kadazan, Dusun, Murut dan etnik lain secara interaktif pada bila-bila masa.
“Ini membuktikan bahawa warisan bukan sesuatu yang beku dalam sejarah tetapi terus hidup dan bergerak ke hadapan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Ia merupakan komitmen kita untuk mengangkat martabat muzium ke era digital.
“Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan lebih ramai golongan muda, penggiat budaya, artis dan pempengaruh untuk menyampaikan mesej warisan secara kreatif dan meluas,” katanya ketika melancarkan sambutan jubli intan Muzium Sabah di Kompleks Fasa Dua Kampung Warisan.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
Dalam majlis sama pemenang Unduk Ngadau Peringkat Negeri 2025 Atitih Yati Robert turut dilantik sebagai Duta Muzium Sabah bagi tempoh satu tahun.
Atitih Yati berkata selaku duta dirinya bertindak sebagai jurucakap budaya dengan menjalankan program kesedaran serta mempromosi nilai sejarah dalam komuniti sama ada secara fizikal mahupun menerusi platform media sosial.
Program turut diserikan dengan karnival permainan tradisional seperti dam aji, congkak, tarik tali, menyumpit dan pelbagai lagi bagi menghubungkan generasi muda dengan tradisi nenek moyang.
Setakat ini sebanyak 23 muzium dan tapak in situ telah diwujudkan di seluruh Sabah.
Antaranya termasuk Muzium Tun Mustapha di Kudat, Muzium Warisan di Keningau, Rumah Agnes Keith di Sandakan, Muzium Tun Sakaran dan Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak di Semporna, Muzium Agop Batu Tulug di Kinabatangan, Tapak Batu Ukir Lumuyu di Tenom serta Muzium Tamadun dan Etnik Dusun yang bakal dibina di Ranau.
Terdahulu Muzium Sabah ditubuhkan pada 15 Julai 1965 dan beroperasi buat kali pertama di tingkat dua sebuah lot kedai di Jalan Gaya, Kota Kinabalu sebelum berpindah ke kompleks sekarang yang dibina di tapak bekas Istana Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1981.
Kompleks tersebut dirasmikan pada 1984 oleh Yang di-Pertuan Agong ketujuh Sultan Ahmad Shah.

