Muzium Taiping (Penerokaan Sejarah Negeri Perak)

19 Aug 2023 • 4:00 PM MYT
Faris Ikhwan
Faris Ikhwan

Full-time worker and passionate about writing.

image is not available
Gambar dari Jabatan Muzium Malaysia

Muzium Taiping, Perak ini telah dibina pada tahun 1883 yang telah menjadi muzium pertama di Malaysia, dan juga telah direka bentuk oleh arkitek berbangsa Inggeris dari England. Idea penubuhan muzium ini dicetuskan oleh Sir Hugh Low iaitu Residen British Ketiga di negeri Perak, bahawasanya penubuhan muzium ini adalah untuk dijadikan sebagai pusat penyelidikan dan pengumpulan bahan sejarah, budaya, dan alam semula jadi negara. Pelantikan Leonard Wray Jr. sebagai ahli botani dan geologi telah ditugaskan untuk mengumpulkan spesimen-spesimen alam semula jadi dan etnologi sebagai koleksi awal Muzium Taiping bagi mengkaji serta memahami budaya material masyarakat tempatan.

Kekayaan bahan koleksi etnologi, sejarah, alam semula jadi, arkeologi, dan etamobologi seperti spesimen binatang jenis binturong dan pulasan, rangka binatang serta tembikar tanah, yang sebahagiannya diklasifikasikan sebagai koleksi yang jarang ditemui ‘rare’ atau hampir pupus yang berusia lebih seratus tahun.

Image from: Muzium Taiping (Penerokaan Sejarah Negeri Perak)
Contoh bahagian dalam Muzium Taiping, Perak

Bangunan ini mempunyai keunikan dari segi seni bina binaan masyarakat 'moor' di India yang digabungkan dengan ‘neo-classical’ dan ‘victorian’ hasil binaan masyarakat Eropah. Selain itu juga, sekiranya dilihat dari udara kelihatan seperti huruf ‘L’ yang diandaikan mengambil sempena kurator pertama Muzium Taiping, 'Leonard Wray Junior'.

Bahan-bahan binaan terdiri daripada batu-bata yang diimport dari India dan juga tempatan dari Selama, Perak. Selain itu, Penggunaan kulit kerang yang telah dihancurkan halus, putih telur ‘lime tar’ adalah sebagai bahan asas simen. Sementara itu, ketulan batu granit yang ditempa khas digunakan dibahagian tangga, bingkai tingkap dan bahagian-bahagian tapak serta dasar bangunan. Bagi struktur pintu, lantai, tingkap, dan gelegar adalah dari kayu tropika tempatan yang berkualiti tinggi seperti cengal batu, meranti, dan merbau.

Terdapat empat buah galeri dan pameran luar:-

  1. Galeri A (Pameran 135 Tahun Perak): Galeri ini diadakan pada 31 Oktober 2018 hingga 31 Julai 2019 bertempat di Galeri A. 135 artifak yang menarik telah dipamerkan, seperti ‘Tengkorak Kepala Gajah’ yang menyerang kereta api di Teluk Intan, Perak pada tahun 1894. Selain itu, turut dipamerkan Pingat Anugerah Permaisuri Negara Komanwel, peralatan pejabat yang digunakan pada awal penubuhan muzium ini, peralatan memproses gambar, dan banyak lagi.
  2. Galeri B (Galeri Alam Semula Jadi): Pameran ini menonjolkan pelbagai koleksi spesimen rangka haiwan seperti gajah, ular sawa, harimau, buaya, dan sebagainya. Spesimen ini dipamerkan dalam bentuk diorama yang menarik berlatar belakangkan habitat masing-masing. Sebanyak 242 koleksi spesimen dipamerkan dalam galeri ini termasuk koleksi burung, ikan dan hidupan laut. Salah satu tarikan utamanya ialah rangka tulang buaya tembaga dan ular sawa yang terpanjang di Asia.
  3. Galeri C (Pameran Kebudayaan): Galeri ini memperagakan koleksi artifak dari pelbagai aktiviti pertukangan tembaga, perak, anyaman, busana Melayu Perak dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga pameran permainan tradisional, pameran perkahwinan serta perayaan masyarakat Melayu, Cina dan India. Salah satu tarikan utamanya ialah artifak cutam yang merupakan campuran logam emas dengan perak dan juga seni tekatan.
  4. Galeri D (Galeri Pameran Masyarakat Orang asli dan Pelbagai Koleksi Tembikar): Galeri ini dibahagikan kepada dua bahagian, koleksi sosio budaya masyarakat Orang Asli dan koleksi pelbagai tembikar dari seluruh Malaysia. Bahagian pertama menonjolkan pelbagai koleksi artifak unik seperti sumpit, jerat, topeng, ukiran kayu, kraf dan lain-lain. Manakala bahagian kedua menonjolkan pelbagai koleksi seperti labu, terenang, pasu kechor dan sebagainya. Salah satu tarikan utamanya ialah koleksi artifak labu air dan ukiran kayu masyarakat Orang Asli.
  5. Pameran Luar: pelbagai koleksi khazanah negara seperti Pesawat F-86 Avon Sabre milik TUDM, perahu Sagor, kereta antik ‘Rolls Royce’, dan sebagainya.
Image from: Muzium Taiping (Penerokaan Sejarah Negeri Perak)
Keratan akhbar mengenai Muzium Taiping, Perak

Terdapat pelbagai pameran dan kemudahan yang telah disediakan bagi rakyat tempatan supaya mengetahui sejarah yang terpendam di muzium ini, serta mengekalkan keharmonian peninggalan sejarah ini untuk generasi akan datang.

Address: Muzium Perak Jalan Taming Sari, Taiping, 34000 Perak

Tel: 05-807 2057

Fax: 05-806 3643

Email: pr.mp@jmm.gov.my

Facebook: https://www.facebook.com/muziumperak


Faris Ikhwan adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.