Geng Vijay tumpas, lima lelaki termasuk wanita ditahan

28 Jun 2019 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

BERA - Kelicikan Geng Vijay berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bera menerusi Op Pintu Khas selepas lima ahlinya diberkas termasuk seorang wanita berusia 20 tahun.

Penahanan kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 36 tahun sekitar Triang secara berasingan itu berjaya menyelesaikan 8 kes pecah rumah yang berlaku sekitar kawasan itu akhir-akhir ini.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, penangkapan suspek utama seorang lelaki berusia 30 tahun berjaya mendedahkan kesemua ahli geng terbabit termasuk barang kes.

Menurutnya, kesemua suspek berasal dari daerah itu kecuali seorang berasal dari Mentakab dan penangkapan terkini ahli geng itu berjaya ditahan semalam.

"Kesemua suspek telah direman hari ini untuk siasatan dengan bantuan Team D6 negeri.

"Tangkapan geng ini juga telah membawa kepada 54 barang kes dan kita telah merampas antaranya seutas rantai leher, tangan warna putih, telefon jenama Sony Ericsson dan Huawei Y9, beberapa utas jam tangan pelbagai jenama dan sebuah televisyen.

"Turut dirampas beberapa unit playar, batu pengasah, pemutar skru yang diakui suspek sebagai alat pecah rumah," ujarnya geng itu dipercayai aktif sejak tahun lepas.

Sementara itu, Mansor turut meminta orang ramai agar memastikan semua pintu dan tingkap dikunci rapi sebelum meninggalkan rumah atau premis masing-masing sama ada meninggalkannya dalam jangka waktu singkat atau lama.

"Pastikan segalanya dikunci rapi untuk mengelakkan penjenayah mengambil kesempatan.

"Selain itu, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika ternampak atau mengetahui sebarang aktiviti jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing," katanya lagi.