haziq05/01/2026 - 18:12 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Jan – My Blockchain Infrastructure (MBI) Sdn Bhd menyifatkan rumusan pengesahan umur berteraskan perlindungan privasi yang dibangunkan di atas platform Zetrix adalah sebahagian inisiatif syarikat itu melindungi kanak-kanak.
Langkah berkenaan jelasnya, adalah selaras dengan usaha pihak kerajaan di seluruh dunia memperketat peraturan bagi melindungi kanak-kanak dalam talian.
Dalam kenyataan hari ini, MBI berkata, rumusan berkenaan direka bagi membantu platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan mematuhi keperluan akses berdasarkan had umur tanpa mendedahkan atau mengendalikan data peribadi pengguna secara berlebihan.
Menurut MBI, langkah itu hadir ketika semakin banyak negara mencadangkan atau melaksanakan dasar menyekat akses media sosial kepada pengguna di bawah umur tertentu, susulan kebimbangan terhadap keselamatan dalam talian, kesihatan mental serta pendedahan kepada kandungan memudaratkan.
Perkembangan tersebut meningkatkan tekanan kepada pengendali platform untuk mengesahkan umur pengguna dengan lebih tepat, di samping menangani kebimbangan orang awam berkaitan privasi data.
Di Malaysia, perbincangan mengenai keselamatan kanak-kanak, kemudaratan dalam talian dan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab semakin rancak, selari dengan usaha memperkukuh tadbir urus digital dan perlindungan pengguna.
MBI merujuk pengumuman Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebuah ‘sandbox’ industri telah dilancarkan pada 1 Januari 2026 bagi menilai rumusan jaminan umur ke arah memperkenalkan had minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial.
Menurut MBI, rumusan yang disokong itu menawarkan pendekatan praktikal dan berskala, membolehkan platform mengukuhkan pengesahan umur tanpa memerlukan pengguna mengemukakan dokumen pengenalan atau maklumat sensitif secara berulang kali.
Menerusi mekanisme tersebut, pengguna hanya perlu mengesahkan identiti sekali sahaja melalui pengeluar identiti nasional dan penyedia pengesahan yang diiktiraf kerajaan seperti MyDigital ID atau Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Proses ini mengesahkan umur berdasarkan sumber rasmi, seumpama semakan identiti digital yang digunakan bagi perkhidmatan kerajaan dan agensi kawal selia.
Selepas pengesahan, pengguna akan menerima bukti umur digital yang selamat, yang tidak mengandungi rekod identiti penuh, salinan kad pengenalan atau data biometrik.
Sebaliknya, bukti itu hanya mengesahkan kriteria yang diperlukan, seperti sama ada pengguna memenuhi syarat umur minimum yang ditetapkan.
Apabila mendaftar atau mengakses platform media sosial dan pemesejan, pengguna boleh mengemukakan bukti umur tersebut, membolehkan platform mengesahkan kelayakan seperti status 16 tahun ke atas tanpa menerima butiran peribadi lain seperti nama penuh, alamat atau imej dokumen pengenalan.
Platform hanya mencatatkan keputusan pengesahan ringkas bagi tujuan kawalan akses dan tetapan keselamatan.
MBI berkata rumusan itu direka untuk mengimbangi keselamatan dalam talian dengan perlindungan privasi yang kukuh.
Rekod yang diwujudkan sepanjang proses pengesahan dikekalkan pada tahap minimum bagi tujuan jaminan dan audit serta dilindungi oleh kawalan akses yang ketat.
Menurutnya, bahan sensitif yang digunakan semasa semakan identiti seperti data mentah eKYC tidak disimpan untuk tempoh yang panjang, sebaliknya dipadamkan secara berjadual atau dalam tempoh yang dipersetujui bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan atau ketirisan data.
“Di seluruh dunia, penggubal dasar sedang mencari cara untuk melindungi pengguna muda dalam talian dengan lebih baik, dan oleh itu pengesahan umur mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab. MBI menyokong keupayaan pengesahan umur ini sebagai pendekatan praktikal dan mengutamakan privasi bagi membantu pengendali platform memenuhi keperluan keselamatan dan kawal selia, di samping meminimumkan pengendalian data peribadi yang tidak diperlukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Azhar Abu Talib.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI Berhad, TS Wong berkata, Zetrix AI akan bekerjasama dengan MBI untuk membolehkan pengesahan yang dipercayai, mudah diterima pakai oleh platform dan mudah diselesaikan oleh pengguna, sambil mengekalkan privasi dan peminimuman data sebagai teras.
Menurut MBI, rumusan tersebut juga berupaya menyokong keperluan kawal selia atau perundangan yang sah melalui saluran yang diberi kuasa, dengan sebarang proses pengaitan semula rekod pengesahan kepada individu dikawal secara ketat dan tertakluk kepada tadbir urus yang jelas. - DagangNews.com


