
YANGON – Myanmar menerima hampir 10,000 pendatang tanpa izin(PATI) dari Malaysia pada tahun ini, kata media kerajaan hari ini, sehari selepas sebuah flotila yang membawa pulang hampir 1,500 warganya berlabuh di selatan Yangon.
Sekumpulan 1,476 orang pulang itu tiba dengan menaiki kapal di luar Yangon semalam. Mereka adalah kumpulan pertama daripada 5,000 PATI yang disahkan oleh Kuala Lumpur, bersetuju untuk diambil semula oleh Myanmar.
Kumpulan-kumpulan pemerhati hak asasi manusia menimbulkan kebimbangan bahawa etnik minoriti Rohingya mungkin dihantar semula ke Myanmar, di mana mereka berdepan penganiayaan kejam, namun Malaysia tidak mengulas mengenai etnik mana yang dihantar pulang itu.
Antara Januari hingga Ogos 2026, seramai 8,041 warganegara Myanmar telah dihantar pulang melalui laluan udara, kata akhbar kerajaan, The Global New Light of Myanmar.
Meskipun penghantaran pulang menggunakan kapal dihebahkan secara meluas di Malaysia, Kuala Lumpur belum mengulas mengenai penghantaran pulang yang dinyatakan oleh Myanmar, melibatkan penerbangan secara mingguan.
Jumlah keseluruhan PATI yang dinyatakan oleh Myanmar telah pulang melalui pesawat dan kapal pada tahun ini ialah seramai 9,517 orang.
Malaysia menegaskan bahawa mereka yang dihantar pulang itu bersetuju secara sukarela untuk pulang dari pusat-pusat tahanan.
Lebih 100,000 orang dianggarkan terkorban di Myanmar sejak tentera merampas kuasa pada tahun 2021 sehingga mencetuskan perang saudara.
Etnik Rohingya mula melarikan diri beramai-ramai dari Myanmar menuju Malaysia sebelum itu lagi bagi mengelakkan tindakan keras tentera bermula pada 2017 yang dianggap sebagai pembersihan etnik oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.
Tentera Myanmar sentiasa menafikan tuduhan genosid tersebut.
Etnik Rohingya membentuk dua pertiga daripada 190,000 pelarian dan pemohon suaka Myanmar di Malaysia, demikian menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP
The post Myanmar umum 10,000 PATI pulang dari Malaysia appeared first on Kosmo Online.




