
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat 87 syarikat pengendali umrah yang disyaki terbabit dalam kartel penetapan Harga.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata laporan menunjukkan wujud pakatan antara beberapa pengendali umrah.
“Ini bahayanya kartel, sebab itu di bawah KPDN kita ada MyCC yang tujuannya untuk melawan kartel umrah ini. Setakat ini, sebanyak 87 syarikat pengendali umrah sedang disiasat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jualan Rahmah Madani Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana, hari ini.
Hadir sama Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin, dan Pengarah SSM, Kamarudin Mohd Daud.
Mengulas faktor keselamatan jemaah berikutan konflik di Asia Barat, Fuziah menasihati bakal jemaah agar menilai kemampuan dan risiko sebelum membuat keputusan.
“Sebaiknya utamakan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu sebelum berhasrat menunaikan umrah susulan daripada peperangan itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kementerian terus memperkukuh agenda Malaysia MADANI melalui pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Aidilfitri di Pahang.
“Bagi memastikan manfaat program ini dapat dinikmati secara lebih meluas, KPDN Pahang merancang 178 siri PJRM bertemakan Ramadan dan Aidilfitri di pelbagai lokasi strategik di seluruh negeri. Sehingga semalam, sebanyak 133 program dilaksanakan, manakala 45 lagi program dijadualkan berlangsung sehingga 30 Mac ini,” jelasnya. - 17 Mac, 2026
The post MyCC siasat 87 syarikat umrah disyaki kartel appeared first on Scoop.

