Daftar OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara dalam talian untuk mendapat pelbagai kelebihan dan kemudahan sebagai orang kurang upaya di Malaysia. Permohonan pendaftaran OKU secara online boleh dilakukan melalui MyDaftar OKU di pautan berikut: https://oku.jkm.gov.my/daftar_oku/create
Selain melalui online, pendaftaran juga boleh dibuat secara manual di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/ Bahagian yang berdekatan.
Pendaftaran OKU akan akan membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan di samping menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan, NGO dan badan-badan kebajikan.
Rujuk info lebih terperinci di bawah.

Pengenalan MyDaftar OKU
MyDaftar OKU merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menambahbaik sistem pendaftaran sedia ada.
Sistem ini akan memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada OKU dalam urusan pendaftaran selari dengan Teras Strategik 8: Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang menggariskan tentang keperluan mewujudkan pangkalan data OKU dan sistem maklumat yang komprehensif bagi meningkatkan pendaftaran OKU.
Sistem MyDaftar OKU ini penting bagi membolehkan pihak Kerajaan membuat perancangan teliti secara holistik dan dapat menggubal dasar yang bersesuaian dengan keperluan OKU berdasarkan data-data yang tepat dan menyeluruh. Ianya juga bagi memastikan tiada golongan OKU yang tercicir dan ketinggalan daripada perhatian Kerajaan serta mendapat kesaksamaan dan peluang penyertaan golongan OKU ke dalam masyarakat tercapai.
Sumber : https://www.facebook.com/photo?fbid=253214040185293&set=a.228231892683508
Kategori Orang Kurang Upaya
Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, “OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat”.
7 Kategori OKU yang boleh dipertimbangkan bagi pendaftaran OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti berikut:
- Kurang Upaya Pendengaran
- Kurang Upaya Penglihatan
- Kurang Upaya Pertuturan
- Kurang Upaya Fizikal
- Kurang Upaya Pembelajaran (termasuk Sindrom Down, ADHD, Disleksia, Autisme dan sebagainya)
- Kurang Upaya Mental
- Kurang Upaya Pelbagai (bermaksud mempunyai lebih daripada satu jenis ketidakupayaan.)
Terkini, OKU Masalah Pembelajaran kini dikenali sebagai OKU Pembelajaran.
Terdapat 6 sub kategori di bawah kategori OKU Pembelajaran, iaitu:
- Global Developmental Delay (GDD),
- Sindrom Down
- Intelektual.
- Autisme (Autism Spectrum Disorder),
- Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD);
- Masalah pembelajaran spesifik (Spesific LD) seperti dyslexia, dyscalculia dan dysgraphia.
OKU yang bertaraf warganegara Malaysia adalah digalakkan untuk mendaftar sebagai OKU secara sukarela.
Inisiatif ini dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Cara Daftar OKU di JKM Malaysia
Permohonan pendaftaran OKU boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau secara dalam talian menggunakan Borang Permohonan Pendaftaran OKU (BPPOKU) Pindaan 2019 melalui MyDaftar OKU di laman sesawang berikut: https://oku.jkm.gov.my/daftar_oku/create
Sila rujukk langkah-langkah berikut:
- Layari portal rasmi JKM dan pergi ke menu MyDaftar OKU. Atau, terus klik pautan berikut: https://oku.jkm.gov.my/daftar_oku/create
- Lengkapkan BPPOKU Pin. 2019 yang mengandungi beberapa bahagian seperti; Maklumat Perujuk, Bahagian A: Biodata Pemohon & Bahagian C: Keizinan Mengeluarkan Maklumat Perubatan
- Klik ‘Hantar’.
Maklumat Tambahan:
- Permohonan pendaftaran OKU hanya kepada warga negara Malaysia sahaja.
- Bagi permohonan OKU jelas (kudung tangan/kaki, tiada ibu jari tangan/kaki, tiada mana-mana dua jari tangan/kaki) tuan/puan perlu memuatnaik gambar menunjukkan ketidakupayaan atau hadir terus ke mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan untuk mendapatkan pengesahan ketidakupayaan.
- Bagi permohonan OKU tidak jelas (selain daripada yang dinyatakan di atas),
- Sila cetak borang.
- Tuan/puan perlu hadir ke fasiliti kesihatan (klinik/hospital kerajaan/swasta) terlebih dahulu untuk mendapatkan pengesahan ketidakupayaan dan menyerahkan borang yang telah lengkap ke mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan.
- Borang Permohonan Pendaftaran OKU (BPPOKU) tuan/puan hanya akan diproses selepas maklumat lengkap diperolehi.
Serahan Dokumen:
- Serahkan BPPOKU Pin. 2019 yang lengkap bersama:
- Salinan MyKad/MyKid
- Gambar berukuran passport bagi pemegang MyKid/Surat beranak sahaja.
- Dokumen sokongan perubatan (jika perlu)
- Penyerahan boleh dibuat secara atas talian atau di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan.
Nota: Borang dan dokumen perlu dihantar dalam tempoh enam bulan dari tarikh borang permohonan.

Jenis Pendaftaran OKU
A. Pendaftaran Baharu
Pendaftaran baharu adalah permohonan pendaftaran OKU yang dibuat untuk kali pertama.
Permohonan pendaftaran memerlukan dokumen seperti berikut:
- Borang Permohonan Pendaftaran Orang Kurang Upaya Pindaan 2019 (BPPOKU Pindaan 2019) yang lengkap ditandatangani dan dicop oleh Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan yang berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) sahaja atau Pakar Perubatan yang berdaftar dengan National Specialist Register of Malaysia (NSR) sahaja samada dari hospital/klinik kerajaan atau hospital/ klinik swasta;
- Satu (1) salinan sijil kelahiran/ MyKid/ MyKad;
- Satu (1) keping gambar berukuran pasport bagi pemegang Sijil Kelahiran/ MyKid.
B. Pendaftaran Semula
Pendaftaran semula adalah pendaftaran yang dibuat semula bagi pemegang Kad OKU lama yang berdaftar sebelum tahun 2011.
Pemohon perlu melengkapkan BPPOKU Pindaan 2019.
Pengesahan Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan/ Pakar Perubatan adalah diperlukan bagi kes-kes seperti berikut sahaja:
- Semua kategori OKU yang tidak dinyatakan sub kategori di mana-mana laporan bertulis. Maklumat diperlukan bagi tujuan mengemaskini sub kategori dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU);
- OKU fizikal yang mempunyai ketidakupayaan yang tidak jelas
C. Perubahan Kategori / Sub Kategori OKU
Bagi perubahan kategori / sub kategori OKU pemohon perlu mengisi Borang Permohonan Pendaftaran OKU (BPPOKU Pindaan 2019) yang lengkap ditandatangani dan dicop oleh Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan yang berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) atau Pakar Perubatan yang berdaftar dengan National Specialist Register (NSR) dari Hospital/Klinik Kerajaan atau Hospital/ Klinik Swasta.
D. Penggantian Kad
Permohonan penggantian Kad OKU adalah untuk keadaan seperti berikut:
- Kad OKU rosak/ hilang
- Perubahan alamat di mana pemohon perlu menguruskan pertukaran alamat dalam Kad Pengenalan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan pertukaran pada Kad OKU; dan
- Cetakan sub kategori pembelajaran pada Kad OKU bagi OKU pembelajaran yang telah dinyatakan sub kategori dalam SMOKU atau di mana-mana laporan bertulis
Penggantian Kad tidak memerlukan pengesahan Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan/ Pakar Perubatan.
CETAK dan MUAT TURUN Borang Permohonan Pendaftaran OKU (Orang Kurang Upaya) di SINI.

Kenapa perlu Daftar OKU di JKM?
Pendaftaran OKU adalah bertujuan seperti berikut:
- Membantu dalam pengurusan dan pentadbiran data OKU secara sistematik dan terkini melalui sistem MyDaftar OKU.
- Untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini bagi maksud merancang program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan;
- Untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU; dan
- Untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan mereka.
- Memberi pengenalan rasmi kepada OKU sebagai pengesahan status untuk memudahkan urusan rasmi dan mendapatkan kemudahan.
- Memastikan tiada golongan OKU yang tercicir dan semua mendapat perhatian dan peluang yang sama daripada kerajaan.
- Membuka peluang OKU untuk mendapatkan pelbagai bantuan kewangan, perubatan, pendidikan, pemulihan dan latihan yang disediakan oleh kerajaan dan NGO.
Cara Mohon Kad OKU Malaysia


Keistimewaan Pendaftaran OKU Dengan JKM
Antara keistimewaan OKU berdaftar termasuklah:
- Bantuan Kewangan (Bantuan Am) -bayaran bulanan berbeza mengikut negeri
- Elaun Pekerja Cacat (EPC)
- Bantuan bagi OKU yang tidak berupaya bekerja
- Bantuan penjagaan OKU Terlantar
- Geram Pelancaran
- Bantuan Alat Tiruan / Alat sokongan
- Pengurangan Lesen Kenderaan Motor kepada Kadar RM2.00 bagi Kenderaan Nasional Tanpa Ubahsuai dan RM1.00 bagi Kenderaan yang Diubahsuai
- Potongan harga sebanyak 50% diberikan kepada OKU dan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas bagi semua pengangkutan awam dan potongan 50% penerbangan domestik bagi Malaysia Airline (MAS) (tidak termasuk pembelian secara online)
- Program Pendidikan Nasional
- Bantuan Kewangan Pelajar OKU di Sekolah
- Bantuan Kewangan Pelajar OKU di IPT
- Bantuan Kewangan Program Pendidikan Khas
- (PPK) di Politeknik/Kolej Komuniti
- Saluran Khas Bagi Pengambilan OKU Di IPTA
- Peluang Pemulihan/Latihan di Institusi Pemulihan/Latihan kepada OKU
- Pengecualian Bayaran dan Pembaharuan Daftar Syarikat di SSM
- Kemudahan dan Galakan Pelepasan Cukai Pendapatan
- Kadar Sewa Rumah yang Rendah (DBKL)
- Potongan Harga 20% Pembelian Rumah daripada SPNB
- Pengecualian Bayaran Rawatan Perubatan
- Pengecualian Bayaran Membuat MyKad, Carian Sijil Kelahiran atau Sijil Kematian
- Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan (Pasport)
Rujuk terma dan syarat dan cara memohon bantuan OKU selanjutnya di SINI.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut berkenaan pendaftaran OKU, sila hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di talian berikut:
03-8323 1656 / 03-8323 1658
ATAU
Salurkan pertanyaan anda melalui Facebook Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Soalan Lazim



