
PayNet kini dilihat telah mula memperluaskan penawaran perkhidmatan dinamakan MyDebit Cash Out, yang membolehkan pengguna menggunakan kat ATM dalam melakukan pengeluaran sehingga RM500 melalui peruncit terpilih. Untuk makluman, perkhidmatan ini telah ditawarkan sejak beberapa tahun yang lepas.
Dengan langkah ini, anda tidak perlu ke mesin ATM dalam melakukan pengeluaran duit. Anda hanya perlu ke peruncit terpilih, melakukan pembelian barangan, dan turut meminta MyDebit Cash Out sekiranya inginkan wang tunai. Kaedah ini sangat membantu ketika era nirtunai kini, dimana anda boleh melakukan pengeluaran ketika membeli barangan atau transaksi pada peruncit terpilih. Setiap transaksi berjaya akan dikenakan caj sebanyak 50 sen, yang mana lebih murah daripada pengeluaran ATM yang dikenakan caj sebanyak RM1.

Terbaru, perkhidmatan ini telah diperluaskan melalui Pos Malaysia, membolehkan pengguna dengan mudah mendapatkan tunai sehingga RM500 di pejabat pos. Selain itu, antara kedai lain yang turut menyokongnya adalah Ninso, Ramly Halal Mart, dan PicknPay.



