MyDigital ID Mengeluarkan Kenyataan Minta Maaf Berkenaan Kesukaran Pendaftaran Pengguna

TechnologyDigital
3 Oct 2024 • 2:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada hari Isnin, kami telah melaporkan bahawa pengguna aplikasi MyJPJ akan perlu mendaftar dan melog masuk kedalam aplikasi tersebut menggunakan akaun MyDigital ID, yang memerlukan sebuah lagi aplikasi yang perlu dimuat-turun untuk mendaftarnya sebelum 10 Oktober ini.

Berikutan perkara ini, ia dapat dilihat bahawa ramai rakyat Malaysia yang mahu mendaftar akaun ini, kerana MyJPJ digunakan oleh ramai rakyat untuk memaparkan lesen memandu dan lesen pemilikan kenderaan mereka tanpa menggunakan kad atau sijil fizikal. Perkara ini kemudiannya menyebabkan kesukaran untuk rakyat Malaysia mendaftar akaun ini, kerana ramai tidak melepasi bahagian pengesahan eKYC (electronic Know Your Customer).

image is not available

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan semalam bahawa log masuk menggunakan MyDigital ID tidak diwajibkan, dan notis mengenainya di aplikasi MyJPJ juga telah dibuang.

Dalam pada itu, pihak MyDigital ID juga telah mengeluarkan kenyataan hari ini berkenaan isu pendaftaran tersebut, dan mengatakan bahawa terdapat beberapa isu dari segi pengesahan eKYC yang mungkin berpunca dari faktor luar kawalan mereka, seperti peranti pengguna yang tidak dapat menangkap gambar yang jelas, ataupun pengguna yang tidak membenarkan penggunaan kamera pada aplikasi tersebut untuk melengkapkan proses pengesahan.

Kami memohon maaf atas kesulitan yang anda hadapi susulan pengumuman mengenai MyDigital ID Single Sign-On (SSO) pada aplikasi MyJPJ mulai 10 Oktober 2024. Sejak pengumuman tersebut, kami telah menerima lebih daripada 150,000 pendaftaran dalam tempoh 24 jam, melebihi jumlah pendaftaran harian biasa kami.

Kami memahami bahawa ramai di antara pengguna menghadapi cabaran, terutama dengan kelewatan sistem semasa proses pendaftaran dalam talian. Pihak kami sentiasa komited untuk menangani segala permasalahan di dalam perkara ini.

Hasil siasatan awal menunjukkan terdapat beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada kesukaran pendaftaran, termasuk isu-isu yang tidak berkaitan secara langsung dengan aplikasi MyDigital ID atau MyJPJ. Contohnya, semasa proses pengecaman wajah atau ciri wajah (gambar) yang kurang jelas boleh menjejaskan keupayaan sistem untuk menangkap data dengan tepat. Kami juga mendapati bahawa sesetengah pengguna tidak mengaktifkan kamera peranti mereka, yang menyebabkan aplikasi tidak dapat melengkapkan proses pengecaman wajah. Selain itu, masalah peranti seperti kesukaran memuat turun aplikasi turut memainkan peranan dalam proses pendaftaran dalam talian.

Kami ingin memberi jaminan bahawa pasukan teknikal MyDigital ID memantau sistem pendaftaran sepanjang masa. Berdasarkan log sistem kami, tiada masa menunggu dalam tempoh 48 jam yang lalu, yang menunjukkan bahawa isu ini mungkin berpunca daripada faktor luar dan berlaku di luar sistem kami.

Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memudahkan urusan pengguna, kami telah menempatkan lebih 100 ejen di 84 lokasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara bagi membantu proses pendaftaran MyDigital ID secara fizikal. Pengguna juga boleh melengkapkan pendaftaran di 212 kaunter JPN di seluruh negara serta di cawangan Tealive terpilih. Senarai lokasi kios boleh didapati di laman web rasmi kami di www.digital-id.my.

Kami sentiasa berusaha untuk menambah baik sistem MyDigital ID dan melihat situasi ini sebagai peluang untuk memperkukuh sistem sokongan kami bagi memastikan pengalaman yang lebih lancar pada masa hadapan. Kesabaran, kepercayaan dan sokongan anda sangat kami hargai, dan kami berterima kasih atas pemahaman anda ketika kami terus meningkatkan pengalaman pendaftaran untuk semua pengguna.

Untuk sebarang bantuan atau maklumat lanjut, sila hubungi Hotline kami di 03-8687 2772 atau e-mel di info@digital-id.my

Terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi anda kepada MyDigital ID.

image is not available

Untuk ini, pihak MyDigital ID telah bertindak untuk menempatkan lebih 100 ejen di 84 lokasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara bagi membantu proses pendaftaran MyDigital ID secara fizikal. Pengguna juga boleh melengkapkan pendaftaran di 212 kaunter JPN di seluruh negara serta di cawangan Tealive terpilih.