MyDigital ID Perkenalkan Semakan Biometri Wajah Secara Masa Nyata

LocalTechnology
12 Jun 2026 • 4:16 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

MyDigital ID Perkenalkan Semakan Biometri Wajah Secara Masa Nyata

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan kenyataan hari ini mengatakan lapisan keselamatan tambahan proses pendaftaran MyDigital ID akan diperkukuhkan dengan semakan biometrik wajah secara masa nyata. Imbasan ini kemudiannya akan disemak dengan pangkalan data yang disimpan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan ketepatan identiti pemohon.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan ekosistem identiti digital negara, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti dan akses tanpa kebenaran.

Image from: MyDigital ID Perkenalkan Semakan Biometri Wajah Secara Masa Nyata

Pengguna sedia ada akan dimaklumkan mengenai keperluan pengesahan semula biometri wajah secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan integriti dan keselamatan identiti digital sentiasa terpelihara. Langkah ini diambil memandangkan penggunaan perkhidmatan digital semakin meluas dalam kalangan rakyat, perniagaan serta agensi kerajaan.

Penambahbaikan keselamatan itu akan dilaksanakan secara berperingkat di semua kios MyDigital ID di seluruh negara. Kerja-kerja penyelenggaraan kios MyDigital ID dijadualkan berlangsung bermula 12 Jun jam 6 pagi hingga 14 Jun jam 6 pagi bagi membolehkan proses kemas kini menggunakan imbasan biometri wajah dilaksanakan.

Orang ramai masih boleh mendaftar MyDigital ID melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Penambahbaikan terhadap MyDigital ID ini merupakan permulaan kepada usaha yang lebih menyeluruh memperkukuh keselamatan ekosistem identiti negara. MKN akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi menyelaras langkah-langkah pengukuhan keselamatan merentasi pelbagai platform identiti dan pengesahan identiti, termasuk MyKad, demi memastikan identiti digital rakyat sentiasa dilindungi.